GEORGETOWN- Peralatan permainan di taman permainan awam sekitar kawasan utara dikesan mengandungi plumbum pada paras berbahaya pada kadar melebihi 90 bahagian persejuta (bps).
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader berkata, hasil tinjauan mendapati 13 dari 17 peralatan taman permainan mengandungi plumbum pada kadar tinggi.
Menurutnya, 11 peralatan yang dicat berplumbum di taman permainan sekitar kawasan ini didapati mengandungi plumbum melebihi 10,000 bps sekaligus mendedahkan risiko keracunan kepada kanak-kanak.
"CAP bimbang dengan perkara ini dan menggesa tindakan segera diambil bagi melarang penjualan dan penggunaan cat berplumbum terutama untuk produk yang mendedahkan kanak-kanak kepada pencemaran plumbum. Kita juga membentuk undang-undang untuk menyingkirkan plumbum dalam cat.
"Selain itu, kita berharap agar plumbum dalam produk diharamkan selain pihak berkuasa perlu menguji dan mengharamkan produk yang didapati mengandungi plumbum pada paras tinggi. Pihak berkuasa juga perlu menjalankan kempen pendidikan untuk memberi kesedaran mengenai bahaya plumbum," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini semalam.
Tambahnya, kajian pihaknya dengan kerjasama International POPs Elimination Network (IPEN) telah dijalankan untuk mendedahkan kepentingan mengambil langkah segera melarang penjualan dan penggunaan cat berplumbum bagi semua tujuan.
"CAP mengesan peralatan bersalut plumbum di taman permainan sekitar Pulau Pinang dan Kedah dengan menggunakan alat penganalisis kimia, X-Ray Fluorescence (XRF) dan mendapati aras plumbum yang tinggi pada peralatan permainan luar rumah.
"Dalam tempoh tertentu, cat berplumbum itu akan rosak disebabkan penggunaan yang berulangkali selain pendedahan kepada cahaya matahari dan hujan. Ini akan menyebabkan cat itu mengelupas dan masuk ke dalam habuk dan tanah. Kemudian ia akan masuk ke dalam badan kanak-kanak yang gemar memasukkan tangan ke dalam mulut," katanya.
Mohideen berkata, plumbum merupakan bahan toksik yang mudah terkumpul dan mampu menjejaskan beberapa sistem tubuh terutamanya kanak-kanak, wanita hamil dan mereka yang terdedah kepadanya.
"Antara kesan plumbum adalah masalah pembelajaran, enggan bergaul dengan orang lain, penurunan kadar kesuburan dan peningkatan risiko kegagalan ginjal serta masalah kardiovaskular. Pendedahan terhadap plumbum pada paras rendah juga boleh menyebabkan masalah kesihatan antaranya kesan kepada otak kanak-kanak dan menurunkan tahap kepintaran (IQ) dan tumpuan.
"Ia juga boleh melambatkan pembelajaran dan meningkatkan masalah tingkah laku. Disebabkan perkara ini, kita telah menggesa kerajaan supaya menggubal undang-undang yang menyingkirkan plumbum dalam cat sejak 1992 hingga 2016 namun masih tiada tindakan," katanya.