Sekolah bukan tempat sebar propaganda

Iklan
Komik 'Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama' mendapat bantahan banyak pihak.

SEMALAM, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik menegaskan tiada kompromi dalam cubaan untuk mempergunakan sekolah sebagai alat propaganda.

Kenyataan itu susulan pengedaran komik bertajuk Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama yang didakwa menyebarkan propaganda politik dan diedarkan di sekolah-sekolah.

Iklan
Iklan

Komik itu diterbitkan pada April 2019 dalam bahasa Melayu, Cina dan Inggeris atas kerjasama kolektif antara kurator Dr Hew Kuan Yau dan artis komik tempatan, Ching Po Ling.

Kandungan penerbitan itu antara lain cuba mempromosikan ideologi komunisme dan sosialisme, menyebarkan fakta yang salah dan mengelirukan mengenai komunis serta mengandungi unsur untuk membangkitkan sokongan dan simpati terhadap perjuangan komunis.

Iklan

Komik itu juga boleh menimbulkan keraguan kepada pembaca khususnya generasi muda mengenai sejarah Malaysia seterusnya mempertikaikan usaha serta perjuangan tokoh atau pemimpin negara terdahulu dalam memperjuangkan kemerdekaan dan membangunkan negara.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) turut mewartakan perintah larangan tiga penerbitan bertajuk Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama serta versi bahasa Inggeris dan Cina melalui Warta Kerajaan P.U. (A)288/2019.

Iklan

Tindakan tegas Maszlee itu harus dipuji kerana sistem pendidikan kita perlu bebas daripada sebarang unsur politik. Budaya politik murahan begini hanya akan merosakkan keadaan.

Pelajar tidak sewajarnya dilibatkan dengan bahan bacaan bersifat propaganda politik apatah lagi menjadikan ia sebagai bahan dalam pembelajaran.

Bidang pendidikan terlalu mahal harganya untuk dipolitikkan kerana ia merupakan bekalan kepada kejayaan anak bangsa yang mencorakkan masa depan negara pada masa depan.

Apa yang rakyat mahu ialah tindakan tegas KPM agar tidak sesekali berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mempergunakan sekolah sebagai alat propaganda murahan.

Apa pun agenda pihak-pihak tertentu masa depan generasi muda terutamanya pelajar sekolah tidak seharusnya dipertaruhkan semata-mata ingin membangkitkan kebencian kepada individu tertentu.

Mereka perlu difokuskan kepada bahan bacaan bersifat akademik yang boleh membantu menambahkan ilmu pengetahuan yang bermanfaat.