PELAKON, Sofi Jikan yang terkenal dengan tagline 'Kasi Sengat Sama Lu' hadir di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini bagi memfailkan rayuan berhubung sebutan dan sabitan menggunakan ganja tahun lalu.
Peguamnya, M Shah Rizal Manan berkata, anak guamnya Mohammad Shofi Jikkan, 49, atau lebih dikenali dengan nama Sofi Jikan merupakan perayu memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 31 Julai lalu.
Iklan
Iklan
"Bagi sebutan rayuan permohonan di mahkamah hari ini, ia dilakukan di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Shah Alam.
"Sofi Jikan memfailkan sebutan rayuan bagi keputusan mahkamah yang menjatuhkan hukuman 12 bulan penjara pada 31 Julai lalu," katanya ketika ditemui di luar mahkamah.
Beliau berkata, hari ini mahkamah menetapkan 26 November ini sebagai tarikh pihak kami (perayu) dan responden mengemukakan hujahan masing-masing.
Terdahulu, Sofi Jikan dilihat hadir berseorangan dengan mengenakan kot biru dan berseluar jeans.
Sofi Jikan dilihat tenang ketika hadir di mahkamah dan sempat memberi senyuman kepada media sebelum meninggalkan mahkamah.