Malaysia ambil langkah waspada hadapi ribut Pabuk

Iklan
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) mengingatkan orang ramai supaya menghindari kawasan pantai di perairan pantai timur Semenanjung susulan amaran ribut tropika Pabuk.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Maritim, Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata, orang ramai disaran mengambil langkah sewajarnya terhadap keselamatan bot dan kapal milik masing-masing.

Iklan
Iklan

"Mereka juga dinasihatkan agar tidak menjalankan aktiviti menangkap ikan, memancing, rekreasi pelancongan dan lain-lain.

"Komuniti Maritim yang berada di lapangan dikehendaki dari semasa ke semasa menentukan aset kerajaan dan bot tahanan di bawah naungan masing-masing diletakkan di bawah pengawasan agar terhindar daripada ancaman cuaca buruk yang sedang melanda ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Iklan

Beliau berkata, amaran cuaca buruk peringkat Jingga yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia jam 11.45 pagi tadi melaporkan, ribut tropika Pabuk kini berada di kedudukan 6.1 darjah utara, 104.5 darjah timur dan dijangka bergerak 15 kilometer (km) sejam ke arah barat laut menghampiri Segenting Kra (sempadan Malaysia-Thailand).

Katanya, keadaan itu boleh menyebabkan hujan lebat, angin kencang melebihi 60 km sejam dan laut bergelora dengan ketinggian ombak melebihi 4.5 meter di perairan Kelantan, Terengganu, Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak.

Iklan

Menurutnya, jarak ribut itu dari bandar Kuala Terengganu adalah 179 km dan Kota Bharu adalah 243 km.

"Amaran tersebut berkuatkuasa sehingga 4 Januari 2019 turut menyatakan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan, perkhidmatan feri dan aktiviti pelantar minyak.

"Selain itu, angin kencang tersebut boleh mengakibatkan kerosakan kepada struktur binaan yang tidak kukuh, risiko pokok tumbang, bumbung terbang, limpahan air laut dan hujan berterusan yang boleh membawa kejadian tanah runtuh," katanya.

Menurutnya, aset-aset Maritim juga turut diletak di bawah siap siaga dan orang ramai yang memerlukan bantuan kecemasan boleh menghubungi talian 999.