KULAI - Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya merempuh belakang sebuah lori treler di Jalan Desa Idaman 3/2 Taman Desa Idaman, Senai di sini awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, mangsa berusia 42 tahun itu turut disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah dan tersepit.
"Siasatan awal mendapati, mangsa yang memandu seorang diri dari Senai menghala Taman Desa Idaman telah melanggar sebuah lori treler yang ketika itu berhenti di bahu jalan.
"Akibat rempuhan itu, mangsa telah tersepit dalam kenderaannya sebelum disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah di bahagian badan dan kepala," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beng Yeow berkata, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Kulai untuk proses bedah siasat.
Beliau berkata, pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati laluan berkenaan adalah jalan lurus dua hala selain hanya dipisahkan dengan garisan putus-putus.
"Ketika kejadian, cuaca adalah dalam keadaan baik dengan permukaan jalan kering.
"Polis masih meneruskan siasatan selain kenderaan yang terbabit telah dibawa ke Puspakom Senai untuk menjalani pemeriksaan," katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987