WASHINGTON - Seorang pegawai kanan Amerika Syarikat (AS) dari Rumah Putih semalam berkata, Washington tidak pernah mendengar sebarang bukti berkaitan pembersihan etnik oleh Turki di timur laut Syria, lapor agensi berita Anadolu.
"Setakat ini, saya tidak rasa kami telah melihat sebarang bukti pembersihan etnik. Jadi, anda tahu bahawa perkara ini akan menjadi sesuatu yang amat serius sekiranya berlaku," kata pegawai yang enggan namanya disiarkan ketika dihubungi kepada pemberita.
Pada 9 Oktober lalu, Turki melancarkan Operasi Peace Spring bagi menghapuskan pengganas dari utara Syria di timur Sungai Euphrates dalam usaha menjaga keselamatan di sempadan negara itu dan kepulangan selamat pelarian Syria selain memastikan integriti wilayah Syria.
Tindakan itu telah mengundang kritikan dari seluruh dunia yang mendakwa tentera Turki sedang melakukan pembersihan etnik terhadap penduduk Kurdish di timur laut Syria.
"Saya harap perkara itu tidak akan berlaku. Kami telah dimaklumkan oleh rakan-rakan kami dari Turki bahawa tiada rancangan sedemikian. Jadi, saya tidak fikir ia akan berlaku," kata pegawai itu.
Maklumat ringkas melalui telefon itu diberikan beberapa jam selepas Washington menarik balik semua sekatan terhadap Ankara susulan operasi tersebut yang membabitkan dua kementerian dan tiga menteri.
"Kami berharap untuk menjalin hubungan baik dengan Turki, yang merupakan anggota NATO. Kami juga berharap untuk meneruskan hubungan baik dengan puak Kurdish di Syria. Kami mengharapkan yang terbaik berlaku di Syria," kata pegawai itu merujuk kepada Parti Pekerja-Pekerja Kurdistan (PKK)/ Unit Perlindungan Rakyat (YPG).
Erdogan dan rakan sejawatnya dari Rusia, Vladimir Putin, telah mengadakan pertemuan pada Selasa lalu di pekan peranginan Sochi di Laut Hitam beberapa jam sebelum tempoh operasi itu dihentikan seketika berakhir.
Ankara dan Moscow mencapai kata sepakat yang menyaksikan pejuang PKK/YPG akan berundur sejauh 30 kilometer (19 batu) di selatan sempadan Turki dengan utara Syria dalam tempoh 150 jam dan pasukan keselamatan dari Turki dan Rusia akan menjalankan rondaan bersama di sana.
Dalam kempen keganasan lebih 30 tahun ke atas Turki, PKK yang telah disenarai sebagai sebuah pertubuhan pengganas oleh Turki AS dan Kesatuan Eropah, telah bertanggungjawab atas kematian 40,000 orang termasuk wanita, kanak-kanak dan bayi.
YPG merupakan cabang PKK di Syria. - Bernama