PENGURUS Chelsea, Frank Lampard memuji persembahan Christian Pulisic dan Michy Batshuayi apabila kedua-dua pemainnya itu menampilkan persembahan cemerlang ketika menumpaskan Ajax Amsterdam 1-0 dalam aksi Liga Juara-Juara di Amsterdam Arena, awal pagi tadi.
Menurut Lampard, kemasukan kedua-dua pemain itu pada separuh masa kedua mengubah rentak permainan dan menambah ketajaman di hadapan gol.
"Perkara paling sukar ketikan menjadi pengurus adalah memikirkan siapa yang boleh bermain dalam setiap perlawanan. Anda hanya boleh mengharap mereka positif dan ketika masuk ke padang mampu memberikan sumbangan.
"Baik Batshuayi ataupun Pulisic mampu melakukannya.Saya gembira dengan persembahan mereka berdua dan juga seluruh pasukan.Sangat bagus apabila kedua-dua pemain simpanan mampu memberikan perbezaan dalam perlawanan seperti ini.
"Permainan Batshuayi ketika menahan bola juga bagus, dia membuat perbezaan dan berjaya menjaringkan gol. Pujian juga harus diberikan kepada Pulisic kerana dia tampil begitu positif di atas padang dan asistnya cukup penting," katanya.
Sepanjang perlawanan, Chelsea lebih dominan berbanding tuan rumah dengan 16 percubaan berbanding 10 percubaan yang dilakukan Ajax.
Namun, kebanyakkan percubaan itu gagal menemui gawang lawan sehingga menyebabkan Lampard terpaksa memasukkan Pulisic dan Batshuayi.
Kemasukkan kedua-dua pemain itu memberikan impak segera kepada The Blues apabila Batshuayi menjaringkan gol tunggal yang menjadi gol kemenangan pasukan pada minit ke-86.