KUANTAN - Seorang pekerja maut tersepit dalam sebuah mesin di kilang kelapa sawit di Felda Selancar 2A di sini petang semalam.
Pegawai Operasi Zon 1 Pahang, Nor Rulfarihan Ab Rahman berkata, pihaknya menerima panggilan sekitar jam 4.48 petang dan tiba ke lokasi kejadian sejam kemudian kerana lokasi terletak sejauh 65 kilometer dari Balai Bomba dan Penyelamat Muadzam Shah.
Menurutnya, pihak bomba berusaha mengeluarkan mangsa, Mohamad Khairunnash Khairol Hisam, 22, menggunakan peralatan menyelamat dengan memotong besi mesin tersebut.
"Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang tiba di lokasi kejadian.
"Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.
Katanya, operasi itu diketuai Komander Operasi Pegawai Bomba, Zahri Zainal bersama lapan anggota turut membabitkan tiga jentera termasuk Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).