Seorang tekong, tujuh warga Indonesia ditahan

Iklan
Mohammad Hamiddan (tengah) ketika berucap pada sidang media berkenaan hari ini.

GELANG PATAH - Cubaan tujuh warga Indonesia untuk keluar daripada negara melalui jalan tidak sah mengundang padah apabila kesemua mereka ditahan Kastam Marin Johor di Perairan Tanjung Belungkor, Kota Tinggi, 16 Oktober lalu.

Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor, Datuk Mohammad Hamiddan Maryani berkata, dalam operasi kira-kira jam 11.30 malam itu, kesemua warga asing yang ditahan adalah berusia dalam lingkungan 20 hingga 53 tahun.

Iklan
Iklan

"Tangkapan dibuat oleh Kastam Marin yang ketika itu sedang melakukan rondaan di perairan Tanjung Belungkor sebelum mengenal pasti dan memintas sebuah bot pancung yang mencurigakan.

"Hasil pemeriksaan ke atas bot berkenaan kemudiannya mendapati ia telah dikendalikan seorang tekong bersama tujuh penumpang warga Indonesia," katanya pada sidang media di Pejabat JKDM Johor Cawangan Gelang Patah di sini hari ini.

Iklan

Mohammad Hamiddan berkata, hasil siasatan mendapati kesemua warga asing berkenaan telah melakukan beberapa kesalahan termasuk tiada pas atau dokumen sah dan tinggal lebih masa di negara ini.

"Dalam operasi ini, lima penumpang didapati tidak mempunyai pas atau permit yang sah manakala dua lagi kerana tinggal lebih masa daripada tempoh dibenarkan.

Iklan

"Selain itu, tindakan juga akan diambil kepada seorang lelaki dipercayai tekong di bawah Seksyen 26J, Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007," katanya.

Beliau berkata, kesemua Orang Yang Di Siasat (OYDS) berkenaan juga telah dibenarkan menjalani perintah reman kedua selama tujuh hari bermula hari ini (24 Oktober) sehingga Rabu depan.