KUALA LUMPUR - Bekas ketua pegawai eksekutif dana kekayaan milik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) hari ini menyifatkan 1MDB adalah Datuk Seri Najib dan Datuk Seri Najib adalah 1MDB.
Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, 49, yang merupakan saksi pendakwaan kesembilan memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa apa yang terpahat dalam fikirannya ialah tidak ada bezanya antara entiti itu dan bekas perdana menteri.
"Apa yang Najib mahu lakukan, saya perlu melaksanakannya. Pada masa itu, saya cuba menyelaraskan apa yang lembaga 1MDB mahukan dan apa yang Najib selaku pengerusi lembaga penasihat 1MDB mahu," katanya.
Saksi itu berkata demikian ketika pemeriksaan balas oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada hari ke-26 perbicaraan bekas perdana menteri itu berhubung dana 1MDB.
Saksi itu menjelaskan tentang keadaan tergesa-gesa untuk menandatangani perjanjian antara 1MDB dan PetroSaudi International Ltd (PSI).
"Oleh itu, adalah penting untuk membentuk konteks tentang mengapa keputusan mengenai perjanjian PSI dilakukan dengan cepat dan saya meredah semuanya untuk mempercepatkannya. Saya percaya ini yang Najib mahukan," katanya.
Mahkamah juga diberitahu bahawa ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low juga adalah penasihat untuk PSI apabila kedua-dua syarikat (1MDB dan PSI) mengadakan usahasama pada September 2009.
"Jho Low sendiri memaklumkan ke[pada saya mengenai perkara itu. Saya tidak menganggapnya sebagai konflik kepentingan walaupun Jho Low turut memberi nasihat kepada 1MDB pada masa yang sama," katanya.
Muhammad Shafee: Anda mempunyai tanggungjawab kepada lembaga sebagai badan kolektif, adakah anda tahu apakah jenis tanggungjawab?
Shahrol Azral: Tanggungjawab fidusiari.
Muhammad Shafee: Apakah yang dimaksudkan dengan tanggungjawab fidusiari? Adakah anda faham perkataan itu?
Shahrol Azral: Tanggungjawab kewangan.
"Tidak, itu bukan apa yang dimaksudkan, fidusiari adalah kewajipan untuk menjadi telus dan jujur dan bertindak demi kepentingan terbaik lembaga dan syarikat. Jelas sekali anda tidak faham perkataan itu," kata Muhammad Shafee.
Shahrol Azral: Apapun saya jujur dan telus
Muhammad Shafee: Biar hakim memutuskan sama ada anda jujur atau tidak. Bagaimana anda dapat memahami bahawa pengarah-pengarah mempunyai tanggungjawab fidusiari?
Shahrol Azral: Ya,
Muhammad Shafee: Tetapi kamu tidak tahu apa maksudnya. anda, anda nampaknya tidak mengambil berat kewajipan fidusiari anda kepada lembaga.
Shahrol Azral: Saya tidak bersetuju.
Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dari dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama.
Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung. Pendakwa raya kanan dan bekas hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram mengetuai pasukan pendakwaan. - Bernama