SHAH ALAM - Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) meramalkan lembangan sungai Kelantan, Terengganu dan Pahang tidak menunjukkan risiko banjir bagi tempoh pemantauan 6 jam ke hadapan bermula 12 tenghari hingga 6 petang semalam.
Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dalam satu kenyataan memaklumkan, maklumat terkini amaran cuaca buruk yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) menunjukkan siklon tropika berlaku di Laut Cina Selatan dan dijangka bergerak menuju ke arah utara perairan Semenanjung Malaysia.
Iklan
Iklan
Menurut kenyataan itu lagi, perwujudan siklon tropika ini dijangka membawa hujan lebat berterusan sehingga hari ini di Kelantan (Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai) dan Terengganu ( Besut, Kuala Nerus dan Kuala Terengganu.
Susulan itu, hujan lebat dijangka berlaku sehingga hari ini di kawasan Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak (Kerian, Larut, Matang, Selama dan Hulu Perak), Kelantan (Gua Musang) serta Terengganu (Hulu Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman).
Pemantauan terhadap model RAINS, JMM bagi tempoh 2 jam ke hadapan menunjukkan hujan sederhana diantara 5mm hingga 10mm dijangka berlaku di Kota Bharu, Kuala Krai di Kelantan dan Kuala Terengganu, Dungun di Terengganu.