Rumah pam diesel di LKIM terbakar

Iklan
Pihak bomba berusaha memadamkan kebakaran di rumah pam diesel yang beroperasi di LKIM, Chendering. - Foto Bomba

KUALA TERENGGANU - [DIKEMASKINI] Rumah pam diesel bagi bot nelayan yang beroperasi di Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Chendering di sini musnah dalam kejadian kebakaran jam 2.30 petang tadi.

Ketika kejadian terdapat 40,000 liter stok minyak dalam tangki simpanan induk minyak di rumah pam diesel milik Persatuan Nelayan Kawan (PNK) Marang dan PNK Kuala Terengganu Selatan itu.

Iklan
Iklan

Pengarah LKIM Terengganu, Tengku Mohd Anuar Tengku Mahmood berkata, kejadian itu dipercayai berpunca daripada perbuatan nelayan asing yang bermain mercun di kawasan itu.

"Punca sebenar belum dipastikan namun kita diberitahu terdapat nelayan-nelayan Vietnam yang bermain mercun berhampiran kawasan itu.

Iklan

"Mungkin mereka tidak tahu di sini ada banyak tempat saluran minyak, gas dan air batu.

"Orang ramai sedar kejadian ini apabila api sudah marak," katanya.

Kebakaran dapat dikawal sepenuhnya dalam masa satu jam. - Foto Bomba

Iklan

Bagaimanapun, katanya, pihaknya masih belum dapat membuat anggaran tepat jumlah kerugian dialami akibat kejadian itu.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Rozizah Abni Hajar berkata, pihaknya menerima panggilan kebakaran oleh orang awam jam 3 petang.

"Sebanyak dua jentera bersama 32 anggota digerakkan ke lokasi bagi mengawal kebakaran daripada terus merebak menerusi saluran paip diesel.

"Dua letupan besar berlaku ketika operasi pemadaman dipercayai berpunca daripada saluran minyak yang pecah.

"Pihak bomba mengambil masa selama 45 minit untuk mengawal kebakaran dan ia dapat dipadamkan sepenuhnya dalam masa satu jam," katanya.