KUALA LUMPUR - Tahap kesedaran golongan berpendapatan rendah (B40) memiliki rumah pertama menggunakan kemudahan Dana Rumah Mampu Milik oleh Bank Negara Malaysia (BNM) masih rendah dan kurang menggalakkan sejak diperkenalkan awal tahun ini.
Pengarah Jabatan Pemantauan dan Pengawasan Kewangan Bank Negara Malaysia (BNM), Qaiser Iskandar Anwarudin berkata, kemudahan Dana Rumah Mampu Milik oleh BNM diperuntukkan kerajaan bernilai RM1 bilion diperkenalkan bagi membantu pembeli rumah dari kalangan B40 membiayai pembelian rumah pertama mereka dalam tempoh dua tahun.
Bagaimanapun, sehingga akhir September ini, beliau mendedahkan kurang daripada 10 peratus nilai peruntukan dana itu dimanfaat pembeli rumah B40 dengan jumlah lebih 1,100 golongan B40 sahaja yang menggunakannya untuk memiliki rumah pertama.
"Jumlah pemilikan rumah oleh 1,100 pemohon daripada B40 juga merangkumi nilai keseluruhan RM180 juta nilai hartanah dibeli mereka.
"Peruntukan RM1 bilion bagi kemudahan Dana Rumah Mampu Milik oleh BNM bertujuan menampung kos kewangan dihadapi pihak bank bagi menurunkan kadar bunga pembelian rumah pertama golongan B40 daripada 4.4 peratus setahun kepada 3.5 peratus setahun.
"Bagaimanapun, permohonan golongan B40 membeli rumah pertama menggunakan kemudahan dana itu masih sangat rendah dan tidak menggalakkan meskipun BNM bertindak meningkatkan nilai ambang pembelian rumah pertama daripada bawah RM150,000 kepada RM300,000 berkuatkuasa bulan September lalu," katanya pada sesi taklimat bersama media di Sasana Kajang hari ini.
Justeru, Qaiser Iskandar menegaskan BNM kini meningkatkan usaha mempromosi supaya lebih ramai golongan B40 menerima manfaat sekali gus memenuhi keperluan memiliki rumah sendiri.
Menurutnya, syarat kelayakan permohonan Dana Rumah Mampu Milik juga hanya melibatkan mereka berpendapatan isi rumah bulanan maksimum sebanyak RM4,360, peminjam atau bersama dan tiada rekod pembayaran terjejas dalam tempoh 12 tahun terdahulu.
"Ciri-ciri pembiayaan dana itu haruslah meliputi harga rumah kediaman sehingga bernilai RM300,000; kadar pembiayaan maksimum sebanyak 3.5 peratus; tempoh pembiayaan sehingga 40 tahun atau berumur 70 tahun yang mana terdahulu dengan kaedah pembayaran secara konvensional atau Islam," katanya.
Dalam perkembangan lain, Qaiser Iskandar berkata, segmen tertentu isi rumah terus memaparkan kelemahan terhadap kejutan kewangan terutamanya bagi mereka yang berpendapatan kurang RM5,000 sebulan.
Menurutnya, 80 peratus daripada golongan itu adalah terdiri peserta dalam Program Pengurusan Hutang di bawah Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit di mana dua pertiga muflis disebabkan pinjaman perbelanjaan boleh guna.
"47 peratus daripada hutang ditanggung bertujuan menanggung perbelanjaan boleh guna dengan 30 peratus daripada jumlah hutang digunakan membiayai perbelanjaan gaya hidup.
"Selain itu 76 peratus isi rumah tidak mampu menampung perbelanjaan kos hidup bagi tempoh lebih tiga tahun sekiranya mereka kehilangan pekerjaan dengan 52 peratus isi rumah berdepan kesukaran mendapatkan segera RM1,000 sekiranya berlaku kecemasan," katanya.