ISLAMABAD - Penyanyi Pakistan, Rabi Pirzada kembali memberi amaran kira-kira sebulan selepas wanita itu ‘mengugut’ Perdana Menteri India, Narendra Modi dengan ancaman serangan reptilia.
Pada kali ini, Rabi tampil berani dengan memakai ves pengebom bunuh diri dan turut memperkenalkan dirinya sebagai ‘anak perempuan Kashmir’.
Tindakan berani wanita itu menerima pelbagai reaksi pengguna media sosial malah ada yang menyindirnya.
"Wow! Anda nampak hebat dengan ‘pakaian tradisional’ Pakistan,” sindir seorang pengguna media sosial.
Malah pengguna media sosial di Islamabad juga enggan menyokong perbuatan itu dan mereka mendakwa penyanyi dari Lahore itu cuba memalukan imej negara terbabit di pentas global.
Pada 2 September lalu, Rabi memuat naik video dirinya bersama beberapa ular eksotik dan aligator sambil menyampaikan mesej berbaur ancaman kepada Modi atas tindakannya membatalkan status khas di Jammu dan Kashmir pada 5 Ogos lalu.
Selain mendapat perhatian di media sosial, wanita itu juga menerima notis daripada Jabatan Taman Negara dan Hidupan Luar Punjab kerana memelihara haiwan liar di kediamannya secara haram.
Tidak lama selepas itu, sebuah mahkamah di Lahore bertindak mengeluarkan waran tangkap ke atas penyanyi terbabit. - Agensi