Perniagaan tidak boleh bersifat monopoli

Iklan
Saifuddin Nasution Ismail

KUALA LUMPUR - Kerajaan berpendirian bahawa landasan perniagaan sama ada pengeluaran barangan atau perkhidmatan di negara ini adalah terbuka kepada semua kaum dan tidak boleh bersifat monopoli, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata, sebagai sebuah negara yang didiami pelbagai kaum, kerajaan perlu memastikan setiap penghasilan produk dan perkhidmatan hendaklah menepati aspek amalan perdagangan yang digariskan kerajaan selain menjamin hak dan keperluan pengguna.

Iklan
Iklan

"Pendirian rasmi kerajaan... apa pun usaha perdagangan iaitu penghasilan barangan atau perkhidmatan, pertamanya tidak boleh bersifat monopoli dan iklim perniagaan yang sihat diutamakan, harga jualan mestilah kompetetif, penawaran produk dan perkhidmatan yang berkualiti, elemen halal tidak boleh diketepikan serta perlu melindungi hak dan pilihan pengguna,” katanya pada sesi soal jawab lisan persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) yang ingin tahu apakah kerajaan menggalakkan kempen dahulukan produk Muslim.

Iklan

Saifuddin Nasution berkata, kerajaan juga berpendirian lebih ke arah pelaksanaan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) demi memastikan ekosistem perniagaan kekal kompetitif, dan mementingkan hak pengguna.

Katanya, perkara paling utama yang wajar dilakukan setiap golongan usahawan adalah terus menyediakan produk dan perkhidmatan terbaik buat pengguna Islam dan bukan Islam atas dasar semangat kenegaraan.

Iklan

Terdahulu, semasa menjawab soalan Datuk Dr Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) yang meminta penjelasan sejauh manakah kerajaan melihat kempen Dahulukan Produk Muslim (#BMF) memberi kesan buruk untuk pertumbuhan ekonomi negara, Saifuddin Nasution berkata setakat ini kerajaan tidak mempunyai sebarang statistik mengenai impak kempen itu.

"Kempen ini baru dimulakan sekitar Julai hingga Ogos lalu dan untuk bercakap tentang kesannya (kempen #BMF), kita perlu melihat pada data statistik. Secara kasar bagi sektor perdagangan, borong dan runcit untuk Oktober cuma memberikan angka terakhir setakat suku kedua tahun ini,” katanya.

Setakat ini, kedudukan sektor berkenaan terus berkembang baik bagi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), dengan jumlah keseluruhan menyumbang RM58 bilion pada KDNK.

"Namun untuk mengaitkan kempen itu melibatkan kesannya sama ada baik atau buruk pada ekonomi negara kita masih belum ada data statistiknya," katanya. -Bernama