'Kebebasan bersuara bukan bersifat mutlak'

Iklan
Edry Faizal pada pada program #Cakaplah Sinar Harian bertajuk Mahasiswa Millenial: Antara Adab dan Kebebasan Bersuara di Kumpulan Media Karangkraf di sini malam tadi.

SHAH ALAM - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua, Edry Faizal Eddy Yusof berpendapat kebebasan bersuara berdasarkan demokrasi Malaysia bukan bersifat mutlak dan perlu bersandarkan kepada undang-undang sebagai batas.

Menurutnya, undang-undang lebih bersifat jitu dengan menyatakan kesan dan hukuman jika individu itu melanggar peraturan yang telah ditetapkan.

Iklan
Iklan

Katanya lagi, perspektif adab atau tidak itu bersifat 'cair' mengikut pandangan berbeza setiap individu.

"Apabila kita nak gabungkan soal undang-undang dan adab ini bahawa di mana batasnya? Sebenarnya tiada kebebasan mutlak bahawa kita boleh bercakap apa sahaja dan sebagainya. Cuma nak bincangkan batasnya itu di mana.

Iklan

"Adakah kita nak menjadikan undang-undang atau menjadikan soal moral dan adab sebagai batas. Pada pandangan saya kalau kita nak menjadikan soal sopan, adab dan biadab itu sebagai batas, kita mungkin akan berdepan beberapa masalah dan perbezaan.

"Kita bersetuju bahawa undang-undang sebagai batas kita kerana ia lebih jitu dan jelas," katanya pada program #Cakaplah Sinar Harian bertajuk Mahasiswa Millenial: Antara Adab dan Kebebasan Bersuara di Kumpulan Media Karangkraf di sini malam tadi.

Iklan

Katanya, wujud kemungkinan mengatakan undang-undang sedia ada tidak mencukupi bagi menjadikan seseorang itu beradab sehinggakan ada yang menggunakan persepsi bagi menentukan beradab atau tidak sesuatu perbuatan itu.

"Maka suka saya ambil contoh bagaimana sopan atau tidak sopan ini begitu cair. Saya berikan contoh beberapa tahun lepas ketika bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Barrack Obama datang ke Malaysia dan mengadakan 'town hall', sekumpulan mahasiswa bangun dan mengangkat plakad tertera No TTPA (perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik).

"Ketika itu berlaku perdebatan kerana sebahagian mengatakan bahawa mahasiswa itu biadab dan memalukan negara namun terdapat juga mengatakan mereka bagus kerana membantah TTPA. Mungkin yang kata mereka ini biadab tidak tahu apa itu TTPA atau tidak menyokongnya.

"Tetapi mereka yang kata mahasiswa itu hebat mungkin sebenarnya jelas membantah perjanjian itu juga. Jangan terkejut yang menyokong perbuatan mahasiswa sebelum ini sekarang mengatakan itu tindakan biadab. Maka lihat bagaimana caranya kalau kita nak gunakan perspektif sopan atau tidak sopan ini," katanya.

Jelasnya, sekiranya perspektif beradab atau tidak beradab sebagai kayu ukur atau paksi kepada perkara tersebut, maka akan berlaku perdebatan yang tiada penghujung.

"Maka saya lebih suka kepada sesuatu yang jelas iaitu undang-undang kerana menyatakan tentang tindakan dibuat akan memberi kesan atau akibat daripada perbuatan menyalahi undang-undang," katanya.