JENTERA serangan Manchester United terus dikritik susulan persembahan hambar ketika mencatatkan kemenangan 1-0 ke atas pasukan kurang ternama dari liga Serbia, Partizan Belgrade dalam aksi Liga Europa awal pagi tadi.
Dalam perlawanan di Stadium Partizana itu, The Red Devils merekodkan catatan buruk apabila hanya mampu mencipta lima percubaan dan hanya satu menemui sasaran melalui gol penalti Anthony Martial pada minit ke-43.
Partizan mencipta lebih banyak peluang dengan 15 percubaan selain memberikan tekanan kepada United dengan mendominasi babak kedua perlawanan.
Pengendali United, Ole Gunnar Solskjaer mengakui masalah yang timbul di posisi serangan pasukan itu, namun percaya pemainnya akan dapat memperbaiki masalah itu dalam perlawanan akan datang.
"Ia satu perlawanan yang sukar buat pasukan. Kami bermula baik pada separuh masa pertama tetapi agak sukar untuk menembusi pertahanan lawan.
"Menentang sebuah pasukan dalam saingan yang kompetitif seperti ini bukan mudah dan saya percaya pemain akan berusaha untuk memperbaiki kelemahan selepas ini," katanya.
Dalam masa sama, Solskjaer turut menegur sikap pemain di bahagian serangan yang tidak melakukan tekanan terhadap pemain Partizan sehingga memudahkan pasukan lawan mengatur permainan.
"Pada separuh masa kedua, pasukan lawan bermain dengan baik dan memaksa kami bertahan. Saya kurang gemar dengan sikap pemain di bahagian serangan yang kurang membantu ketika bertahan.
"Saya mahu menerapkan konsep bertahan yang bagus dalam pasukan dan itu menjadi kekuatan United musim ini. Tetapi, ia tidak berlaku pada separuh masa kedua perlawanan itu," katanya.
Kemenangan ke atas Partizan mengakhiri kemarau 11 perlawanan tanpa kemenangan United di tempat lawan selain menjadi kemenangan pertama dalam empat perlawanan terakhir mereka.