‘Rambang mata nak pilih’

Iklan
Pengunjung leka memilih novel di Jualan Gudang Akhir Tahun Karangkraf.

SHAH ALAM - Jualan Gudang Akhir Tahun Karangkraf yang berlangsung sehingga 3 November ini ibarat ‘syurga’ bagi pencinta buku terutamanya novel cinta, genre seram dan thriller.

Apa tidaknya, pengunjung yang datang pasti rambang mata untuk memilih novel yang diinginkan kerana pelbagai tajuk daripada pelbagai penulis ditawarkan kepada mereka.

Iklan
Iklan

Yang pasti, harga serta diskaun ditawarkan juga sangat menarik sepanjang 10 hari jualan gudang berlangsung.

Bagi peniaga buku dalam talian, Normi Abdullah, 28, berkata, dia tidak akan melepaskan peluang untuk mendapatkan novel-novel ditawarkan.

Iklan

"Setiap kali jualan gudang, saya tidak akan melepaskan peluang untuk memborong novel-novel yang disediakan.

"Seawal jam 9 pagi lagi, saya akan datang dan memilih novel-novel cinta terutamanya yang sering menjadi kegemaran pembaca,” katanya ketika ditemui Sinar Harian hari ini.

Iklan
Normi bersama suami dan anak-anak tidak melepaskan peluang membeli pelbagai novel yang ditawarkan.

Ibu kepada dua cahaya mata itu berkata, dia bersyukur kerana suaminya, Mazrul Adha Zainal Abidin, 30, sering menemani dan membantunya memilih novel-novel berkenaan.

"Kebiasaannya saya akan datang lima hari berturut-turut iaitu pada hari pertama hingga kelima kerana ketika ini masih banyak novel ‘best seller’ dan murah.

"Saya juga tidak akan lepaskan peluang untuk borong pelbagai novel yang dijual dengan harga RM1. Harga ditawarkan pula sangat berbaloi.

"Memang rambang mata dibuatnya dan rasa macam nak borong semua novel di sini,” katanya.

Pelbagai novel dijual dengan harga serendah RM1 di Jualan Gudang Akhir Tahun Karangkraf.

Normi berkata, dia memperuntukkan untuk membeli kira-kira 3,000 novel sepanjang jualan gudang berlangsung untuk dijual semula kepada pelanggan tetapnya.

"Kebanyakan novel ini sering mendapat permintaan daripada pelanggan dan kadang-kadang memang tak menang tangan untuk penuhi permintaan mereka.

"Alhamdulillah, perniagaan buku online (dalam talian) yang saya usahakan sejak dua tahun lalu mendatangkan pulangan lumayan,” katanya.

Pengunjung juga tidak melepaskan peluang memilih al-Quran yang ditawarkan pada Jualan Gudang Akhir Tahun Karangkraf yang bermula hari ini.

Datang seawal pagi

Dalam pada itu, jualan gudang itu turut menyediakan tawaran istimewa kepada peminat majalah terbitan Karangkraf.

Pemilik kedai alat tulis, Crystal, 45, berkata, dia dan suaminya, Jason, 60, tidak akan melepaskan peluang untuk mendapatkan pelbagai jenis majalah setiap kali jualan gudang berlangsung.

"Kami akan pilih dan beli pelbagai jenis majalah seperti masakan, jahitan dan hiasan dalaman dalam kuantiti yang banyak.

"Biasanya kami akan pilih majalah yang murah serta menawarkan diskaun lebih 30 peratus untuk dijual semula kepada pelanggan di kedai kami di Puchong,” katanya.

Cyrystal (kanan) dan Jason menunjukkan sebahagian majalah yang dipilih ketika berkunjung di Jualan Gudang Akhir Tahun Karangkraf pagi tadi.

Menurutnya, mereka sanggup menghabiskan masa berjam-jam untuk memilih majalah berkenaan.

"Setiap kali hari jualan gudang, kami akan datang awal kerana waktu itu stok majalah masih banyak serta pelbagai.

"Kiranya kami orang pertama yang dapat pilih dan beli majalah-majalah itu tanpa tidak perlu berebut dengan orang lain,” katanya.

Sudut interaktif untuk kanak-kanak turut disediakan.