GEORGETOWN - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak saman fitnah yang difailkan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng terhadap bekas Ketua Pemuda Gerakan, Jason Loo Jieh Sheng dan dua lagi berhubung artikel berkaitan penjualan sebidang tanah di Peel Avenue kepada Island Hospital.
Hakim Datuk Rosilah Yop turut memerintahkan Guan Eng selaku plaintif membayar kos masing-masing RM50,000 kepada Jason dan dua lagi defendan iaitu akhbar The China Press Bhd dan Guang Ming Ribao.
Rosilah dalam keputusannya berkata, plaintif telah gagal membuktikan pernyataan fitnah kasar yang dibuat oleh Jason, yang diterbitkan dalam dua akhbar tersebut.
"Ketiga-tiga artikel berita tersebut sepatutnya diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu yang merupakan bahasa kebangsaan selaras dengan Seksyen 8 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 yang memperuntukkan bahawa bahasa Melayu hendaklah digunakan sebagai bahasa mahkamah di Malaysia.
"Dalam kes ini, ketiga-tiga artikel yang dikatakan fitnah itu tidak diterjemah ke dalam bahasa Melayu, maka plaintif gagal memenuhi Peruntukan di bawah Artikel 152 Perlembagaan Persekutuan yang menjelaskan mengenai kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan," katanya.
Hakim itu berkata, tiga artikel berita tersebut telah diterjemah oleh saksi kedua plaintif (penterjemah bebas) dari bahasa Mandarin kepada bahasa Inggeris, malah saksi itu juga mengakui terjemahan yang dibuatnya hanya berdasarkan teks dalam talian dan bukan kenyataan (berita yang diterbitkan dalam akhbar).
"Mahkamah mendapati plaintif gagal memenuhi tuntutan menyebabkan kes ini cacat dan memudaratkan. Mahkamah menolak tuntutan ini kerana plaintif gagal membuktikan pernyataan fitnah terhadap defendan," katanya.
Tiga artikel itu setelah diterjemahkan bertajuk, Jason Loo: One Man Decide, Pakatan Harapan DAP-led State Government Run By Rule of Man diterbitkan dalam akhbar China Press pada 29 Mei 2017 manakala artikel pada tarikh sama dalam akhbar Guan Ming bertajuk, Jason Loo Urges Lim Guan Eng to Explain Why Sell Lebuhraya Peel Land Prior to Gazette.
Artikel ketiga adalah terbitan akhbar Kwong Wah Yit Poh bertarikh 9 Jun 2017 setelah diterjemahkan dengan tajuk, One Man Rule By Chief Minister of Penang.
Guan Eng yang kini Menteri Kewangan telah mengemukakan tiga saman terhadap kenyataan Jason pada sidang media pada 29 Mei 2017 berhubung dengan penjualan tanah tersebut.
Pada Februari 2018, Guan Eng memfailkan tiga saman fitnah secara berasingan terhadap Jason kerana dengan niat jahat membuat kenyataan palsu dan fitnah serta akhbar The China Press Bhd dan Guang Ming Ribao kerana menerbitkan kenyataan tersebut.
Sementara itu, Guan Eng dalam kenyataan hari ini berkata, beliau memutuskan untuk menerima nasihat peguamnya mengenai hasil kes yang diputuskan adalah berdasarkan teknikal dan bukannya berdasarkan merit sama kes itu memfitnah. - Bernama