Pemandu pelancong tertipu tawaran lesen terbang

Iklan
Gambar hiasan. Gambar kecil: Mohd Wazir

KUANTAN - Hasrat seorang pemandu pelancong untuk mendapatkan lesen memandu dengan cara mudah dan murah lebur apabila tertipu dengan iklan tawaran lesen terbang itu yang diiklankan melalui Twitter kelmarin.

Mangsa berusia 54 tahun yang berhasrat untuk mendapatkan lesen memandu kelas D berurusan dengan seorang lelaki melalui nombor telefon yang tertera pada iklan tersebut pada 25 Ogos lalu dan bersetuju untuk mendapatkan lesen yang ditawarkan pada harga RM900.

Iklan
Iklan

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, suspek yang kononnya bekerja di pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Padang Jawa, Klang bersetuju untuk membantu mangsa mendapatkan lesen tersebut.

Menurutnya, mangsa berurusan dengan suspek melalui WhatsApp berminat untuk mendapatkan lesen tersebut lalu membuat bayaran penuh RM900 melalui akaun bank atas nama suspek pada 6 Oktober lalu.

Iklan

"Selepas bayaran dibuat, suspek memaklumkan mangsa akan mendapat lesennya dalam tempoh tiga hari namun selepas tempoh dijanjikan, mangsa masih gagal mendapatkan lesennya," katanya.

Mohd Wazir berkata, mangsa yang syak ditipu tampil membuat laporan polis semalam.

Iklan

"Mangsa bukan sahaja gagal mendapatkan lesen dijanjikan malah wang bayaran yang dibuat juga turut lesap.

"Susulan laporan polis dibuat mangsa, kita membuka kertas siasatan ini mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Katanya, pihaknya turut mengesan dan akan menahan suspek untuk siasatan lanjut.