Sorok belakang langsir elak dicekup curi tabung masjid

Iklan
Gambar hiasan

KULAI - Seorang remaja lelaki ditangkap selepas dipercayai cuba mencuri tabung Masjid At Taqwa di Rumah Pangsa Kulai di sini, hari ini.

Remaja berusia 15 tahun itu ditahan selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan memasuki masjid berkenaan kira-kira jam 9.30 pagi.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, seorang pengadu dimaklumkan jirannya yang ternampak suspek memasuki masjid sebelum mereka berdua membuat pemeriksaan dan mendapati tabung masjid dalam keadaan terbalik serta wang tunai berselerak.

"Pengadu membuat pemeriksaan lanjut dan menjumpai remaja lelaki itu bersembunyi di belakang langsir lalu menghubungi pihak polis.

Iklan

"Anggota Unit Peronda Polis (MPV) menangkap semula remaja itu di kawasan masjid tersebut kira-kira jam 9.45 pagi,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beng Yeow berkata, hasil soal siasat, remaja itu mengaku mencuri wang tabung masjid tersebut dan satu beg sandang yang mengandungi wang tunai RM16 turut dirampas.

Iklan

"Suspek ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai dan akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kulai untuk permohonan reman di bawah Seksyen 11 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) dan kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sementara itu, menurutnya, polis menahan seorang lelaki berusia 25 tahun selepas disyaki terlibat mencuri motosikal di kawasan Pasar Raya Mydin Kulai di sini, semalam, kira-kira jam 8.40 malam.

"Hasil soal siasat, suspek mengaku mencuri motosikal jenis Yamaha 135LC bersama seorang suspek yang masih bebas dan ujian saringan air kencing ke atas suspek yang ditangkap mendapati positif dadah jenis Methaphetamine.

"Suspek ditahan di lokap IPD Kulai dan akan dibawa Mahkamah Majistret Kulai untuk permohonan reman di bawah Seksyen 117 KPJ. Usaha mengesan suspek yang masih bebas dan motosikal yang dicuri masih giat dijalankan,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(A) Akta Dadah berbahaya 1952.