MELAKA – Tanggungjawab mendidik anak-anak mengenai solat bukan suatu perkara yang mudah seperti mengajar ABC kerana mereka perlu mengetahui dan memahami tujuan sebenar solat itu dilakukan.
Bagi ibu bapa yang mempunyai anak-anak menunaikan solat tepat pada masanya sangat bertuah dan beruntung lebih-lebih lagi tanpa disuruh.
Perkara itu disyukuri seorang ibu, Wan Lydia Abd Razak apabila melihat anak lelakinya yang dikenali sebagai Adam menunaikan solat walaupun sibuk membantunya di kedai mereka.
Wan Lydia berkongsi perkara tersebut di Facebook miliknya dengan memberitahu"Semoga menjadi anak yang soleh” mendapat pelbagai reaksi daripada warganet.
Beliau juga turut berkongsi gambar anaknya menunaikan solat di kedai miliknya sehingga tular di media sosial dan rata-rata warganet kagum dan menyifatkan beliau bertuah kerana memiliki seorang anak yang menunaikan tanggungjawabnya sebagai umat Islam sejak dari kecil.
Kata Mohammad Ali Adnan"Beruntungnya awak kerana mempunyai seorang anak yang dari kecil dah pandai tunaikan solat tanpa disuruh...solat di awal waktu pula tu...terbaik awak mendidik dia.
"Semoga dia sentiasa dipermudahkan ALLAH agar dirinya akan menjadi sebegini sehingga dia dewasa kelak. Untung awak sebagai seorang ibu memiliki anak yang pandai solat walaupun masih kecil,” tulis Mazah Ahmad di Facebook.