Deepavali: Rupanya ada beza antara Chetti dan India

Iklan
Gambar hiasan

MELAKA TENGAH - Sempena sambutan Deepavali yang akan diraikan esok, masyarakat Chetti Melaka di sini turut sibuk menyediakan segala persiapan untuk meraikan pesta cahaya itu.

Pesara kerajaan, K Suppiah Pillay, 70, berkata, sambutan Deepavali bagi masyarakat Chetti dan kaum India tidak jauh berbeza kerana mereka berkongsi perayaan yang sama.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, menurutnya, perbezaan yang ketara cuma dari segi pakaian dan makanan kerana masyarakat Chetti lebih terdedah kepada cara hidup orang Melayu.

"Pada pagi Deepavali kaum lelaki akan mengenakan hiasan kepala yang dikenali sebagai 'talapa' dan kain pelikat berbanding masyarakat India yang lazimnya memakai pakaian tradisional India iaitu dhoti.

Iklan

"Laum wanita masyarakat Chetti pula akan mengenakan baju kebaya pada sambutan Deepavali," katanya.

Bunga malai sering menjadi satu kemestian masyarakat India menjelang perayaan Deepavali esok ketika tinjauan di Little India hari ini. - Foto Bernama

Suppiah Pillay berkata, dari segi ritual keagamaan juga tidak banyak bezanya, cuma masyarakat Chetti tidak melakukan upacara mandi minyak pada awal pagi seperti yang lazim dilakukan masyarakat India di negara ini.

Iklan

"Menjadi kelaziman bagi masyarakat Chetti menghidangkan makanan tradisi iaitu hidangan istimewa kepada pengunjung yang hadir ke rumah seperti tose iaitu diperbuat daripada beras yang direndam dan dikisar halus.

"Selain tose, kami biasa sediakan nasi lemak, mi goreng, rendang dan beberapa kuih tradisional Melayu," katanya.

Menurutnya, selain saudara mara, ramai rakan-rakan bertandang ke rumahnya dan beliau sentiasa menerima tetamu yang hadir dengan hati terbuka.

"Bukan hanya orang Chetti sahaja yang datang ke rumah saya, orang Melayu dan Cina, malah ada pelancong luar negara turut berkunjung ke rumah saya untuk melihat bagaimana kami (masyarakat Chetti) menyambut Deepavali,” katanya.

Sementara itu, P Parachee, 64, berkata, kemuncak kemeriahan sambutan Deepavali baginya adalah apabila saudara mara dan rakan-rakan daripada pelbagai bangsa dan agama mengunjunginya.

"Oleh kerana kebanyakan daripada kawan saya ialah orang Melayu, saya akan pastikan bahan yang halal bagi orang Islam dijadikan sebagai juadah Deepavali,” kata ibu kepada dua anak yang bekerja di sebuah syarikat swasta.

"Pada Hari Deepavali saya akan pakai baju kebaya kerana ini adalah tradisi yang diwarisi dari nenek moyang yang harus terus dipertahankan dan diikuti generasi muda masyarakat Chetti hari ini," katanya.

Masyarakat Chetti Melaka adalah satu kelompok minoriti India yang unik yang terbentuk hasil daripada perkahwinan campur antara orang Hindu dengan rakyat tempatan seperti Melayu, Cina dan lain-lain.

Mengikut catatan sejarah nenek moyang masyarakat Chetti Melaka ialah saudagar rempah dari negara India yang datang berdagang di sini dan kemudiannya menetap di Melaka. - Bernama