Gadis rumah kuning terima gitar Najwa Latiff

Iklan
Rabiatul bersama gitar kesayangannya di hadapan rumahnya yang tular sebelum ini.

JERANTUT -"Walaupun saya sakit, berdepan banyak dugaan tetapi saya harus kuat demi keluarga.

Bagi seorang gadis, Nur Rabiatul Adawiyyah Zamri, 18 dari Kampung Jerantut Feri tidak mahu penyakit leukemia yang ditanggungnya menjadi penghalang untuk dia berjaya seperti orang lain.

Iklan
Iklan

Malah anak kedua daripada tujuh beradik itu tetap positif dan bersemangat untuk menggapai impian selain dapat membantu keluarganya.

"Perjalanan hidup masih jauh. Saya perlu kuat dan dengan sokongan ibu bapa serta adik-beradik selama ini saya tak boleh jadi lemah walaupun penyakit ini telah banyak menguji hidup selama ini.

Iklan

"Saya nak bantu keluarga, nak capai dan berjaya dalam bidang yang saya minat," katanya kepada Sinar Harian.

Dia ditemui di kediamannya di kampung tersebut selepas dirinya tular berikutan alamatnya,"Masuk ke dalam sikit, rumah saya kat belakang warna kuning" yang menjadi bahan jenaka netizen namun bertukar simpati selepas mengetahui gadis itu pesakit leukemia.

Iklan

Rabiatul berkata, kesilapan alamat itu juga seakan merubah kehidupannya kerana keprihatinan masyarakat terhadapnya.

"Terima kasih dengan kata-kata semangat dan sumbangan yang diberikan oleh orang ramai kepada saya.

"Jujur saya tak sangka ramai yang bersimpati dan memberikan kata-kata semangat kepada saya malah ada yang meminta nombor akaun untuk menyalurkan sumbangan.

"Ada seorang pakcik Cina yang hubungi dan salurkan sumbangan ke dalam akaun dan ada remaja sebaya dan pelajar sekolah turut masukkan duit," katanya lagi menghargai keprihatinan masyarakat terhadap dirinya.

Tular berikutan alamatnya yang menjadi bahan jenaka netizen.

Menurutnya, dia tidak mahu mengambil kesempatan mudah terhadap situasi tersebut sebaliknya dia akan cuba sebaik mungkin untuk mencari rezeki dan membantu keluarganya.

"Saya kini membantu ibu mengambil tempahan kek selain menjual coklat dalam talian.

"Kalau ada peluang saya nak ambil bidang kemahiran sebab minat juga dalam bidang pembuatan kek," katanya yang turut berminat dalam bidang jahitan selain menggemari muzik.

Rabiatul berkata,dia tidak dapat menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebelum ini kerana keadaan kesihatannya.

"Saya disahkan menghidap penyakit ini ketika berusia 15 tahun dan sejak itu Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) menjadi rumah pertama saya.

"Saya pun baru jalani rawatan kimoterapi dan akan jalani rawatan susulan bulan depan," kata bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jengka Dua itu lagi.

Ditanya peringkat awal sebelum dia disahkan menghidap penyakit itu, Rabiatul memberitahu pada mulanya hanya mengalami demam.

"Saya jarang sakit macam demam. Suatu hari demam tapi berlarutan lama, anggap tiada apa-apa kemudian rujuk ke hospital, bila diperiksa kandungan darah putih tinggi dan akhirnya disahkan oleh doktor saya menghidap penyakit kanser darah (leukemia)," jelasnya.

Kini Rabiatul juga menjadikan muzik sebagai pendorong dan menaikkan semangatnya.

Rabiatul berhasrat belajar kemahiran menghasilkan kek untuk membantu keluarganya.

Pemberian gitar oleh artis kesayangannya, Najwa Latif kini menjadi pengubat duka.

"Saya dapat gitar ini ketika Najwa datang memenuhi impian saya untuk bertemu dengan dirinya pada 2015.

"Selepas itu saya belajar sendiri main gitar merujuk Internet dan YouTube dan kini sudah boleh main beberapa buah lagu. Bila saya rasa 'down', gitar ini menjadi penghibur," akuinya.

Sementara itu, ibunya, Nik Zainab Nik Zaid, 36, menyifatkan anaknya itu sangat kuat dan tabah selain pandai berdikari dan ceria.

"Walaupun dia sakit tapi tak macam orang sakit. Dia tak suka susahkan keluarga, kadang-kala pergi ke hospital pun pergi sendiri naik bas.

"Keluarga saya tiada kereta, hanya ada motosikal digunakan suami yang mencari rezeki, menangkap dan menjual ikan sungai," katanya.

Menurutnya, dia juga lega dan bersyukur kerana rawatan perubatan anaknya juga banyak dibantu oleh kerajaan selain Rabiatul menerima bantuan bulanan RM300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)