Tanah runtuh: Pergerakan tanah sudah dikesan lebih awal

Iklan
Keadaan runtuhan tanah di Seksyen 16.4 Jalan Rantau Panjang-Lata Tinggi.

LARUT - [DIKEMASKINI] Pergerakan tanah dan kesan retakan di Jalan Rantau Panjang-Lata Tinggi di sini telah dikesan lebih awal beberapa hari sebelum berlakunya runtuhan tanah semalam.

Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak, Roslan Abd Ghani berkata, pihaknya juga dalam tindakan untuk menutup laluan terbabit bagi memberi laluan pemeriksaan terperinci dilakukan.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun menurutnya, hujan lebat sejak beberapa hari lalu menjadikan keadaan tanah lebih lembab dan berair mengakibatkan pergerakan tanah lebih cepat berlaku daripada yang dijangkakan.

"Pergerakan tanah sudah kita kesan sejak Khamis lalu dan dari segi laluan kita memang sedang ambil tindakan untuk menutupnya hari ini.

Iklan

"Tetapi apa yang berlaku semalam walaupun kita rasa mungkin ada kegagalan, kita tidak menjangkakan tanah itu bergerak terlampau jauh hingga 200 meter dari laluan utama ini ke kawasan penempatan penduduk," katanya kepada media hari ini.

Beliau berkata, kesan pergerakan tanah yang kuat dapat dilihat apabila menimbus tiga rumah penduduk sekali gus.

Iklan
Roslan Abd Ghani

"Kalau kita lihat, kesan runtuhan lebih teruk di satu rumah kerana kawasannya lebih lapang berbanding dua lagi rumah yang mempunyai pokok-pokok di belakangnya, itu menunjukkan tanah itu bergerak lebih laju dari dijangkakan," katanya.

ARTIKEL BERKATIAN: Tanah runtuh: 50 keluarga dinasihatkan pindah

Roslan berkata, pemantauan ketat bersama Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) kini dilakukan di kawasan sekitar bagi mengesan kemungkinan berlakunya lagi pergerakan tanah.

"Kita akan lakukan kerja-kerja pembersihan dan dalam masa sama lakukan kajian semula untuk membaiki jalan dan mencari penyelesaian terbaik mengatasi masalah ini," katanya.

Sementara itu, Exco Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan negeri, Abdul Yunus Jamhari berkata, laluan A39 Jalan Rantau Panjang-Lata Tinggi sepanjang 18 kilometer ditutup sepenuhnya dan orang ramai disaran menggunakan jalan lama sebagai alternatif.

Katanya, proses baik pulih jalan yang rosak dijangka mengambil masa lebih tiga bulan dan satu kajian rapi akan dibuat bagi menentukan keselamatan laluan itu.

"JKR ketika ini dengan dibantu peralatan dan jentera giat membersihkan kesan runtuhan di tempat kejadian, kakitangan jabatan juga sedia membantu penduduk membersihkan kediaman yang terjejas. JKR akan melakukan pemantauan rapi di jalan dan jambatan berisiko di seluruh negeri," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Tanah runtuh: Lelaki tertimbus ditemukan maut