MELAKA TENGAH - Kerajaan Melaka mahu Jabatan Tanah dan Galian meneliti pelaksanaan kadar cukai lebih tinggi dapat dikenakan kepada pemilik tanah terbiar selepas tempoh tiga tahun bermula tahun ini.
Ketua Menterinya, Adly Zahari berkata, perkara itu penting diberikan perhatian supaya tanah berstatus tersebut termasuk tanah pertanian dan perindustrian dapat dimanfaatkan pemiliknya.
"Ini termasuk melihat secara positif pelaksanaan dipraktikkan di negara lain seperti Singapura dan Jepun yang menggunakan kaedah cukai berkenaan sekali gus menggelakkan berlakunya masalah tanah terbiar yang mengundang pelbagai isu hingga menjejaskan keharmonian rakyat.
"Kerajaan negeri mengambil serius isu tanah terbiar di negeri ini supaya ia diusahakan pemilik tanah. Kesemua pemilik tanah perlu bersama menangani perkara ini bagi memastikan penggunaan tanah secara optimum,” katanya selepas mesyuarat Exco di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Adly berkata, sebanyak 723 permohonan tanah diterima tahun lalu berbanding 501 permohonan pada 2017.
"Jumlah ini sebanyak 656 iaitu 90.73 peratus permohonan diluluskan dalam tempoh itu berbanding 413 iaitu 82.44 peratus pada tahun 2017 selain sebanyak 67 permohonan ditolak berbanding 88 permohonan ditolak pada tahun sebelumnya.
"Daripada jumlah itu juga menunjukkan permohonan tanah diluluskan tahun lalu meningkat berbanding tahun sebelumnya,” katanya.
Terdahulu, Adly menerima lawatan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub.