RAWANG - Seramai 299 pelatih Konstabel wanita bagi Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Siri 4/2019 menamatkan latihan enam bulan mereka di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Bukit Sentosa di sini hari ini.
Daripada jumlah itu, 14 pelatih berkenaan memiliki ijazah sarjana muda, 45 memiliki diploma, tiga lagi tamat pelajaran di peringkat Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan 237 pelatih lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Mereka yang mengikuti latihan asas bermula 28 April lalu diraikan pada majlis perbarisan tamat latihan PLAK yang disempurnakan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah dan turut dihadiri Timbalan Pengarah Pengurusan (Pentadbiran), Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Abdul Majid Mohd Ali dan Komandan PULAPOL Bukit Sentosa, Superintendan Mohd Rusli Din.
Kesemua pelatih akan ditempatkan di penempatan seluruh negara bermula 1 November ini.
Omar ketika menyampaikan amanat Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador menitipkan pesanan agar kesemua pelatih yang berjaya dapat menggalas tanggungjawab dalam tugas kepolisan dengan penuh integriti.
"Disiplin dan integriti perkara penting, jangan sesekali terlibat dengan salah laku rasuah atau salah guna kuasa. Imej PDRM juga perlu dijaga. Naikkan profesionalisme anggota keselamatan ini," katanya.
Dalam majlis itu, Konstabel Sakinah Said, 23, diumum sebagai Pelatih Terbaik Keseluruhan, sementara Konstabel Nur Syahirah Abd Aziz, 24, muncul Pelatih Terbaik Latihan Luar dan Konstabel Noraishah Ahmad, 26, sebagai Pelatih Terbaik Akademik. - Bernama