Gomez cipat rekod baharu Ironman Langkawi

Iklan
Javier Gomez dari Sepanyol mendahului peserta lain pada Kejohanan Ironman Langkawi 2019 di sini. -Foto Bernama

PESERTA triatlon Sepanyol, Javier Gomez menepati ramalan selaku pilihan utama apabila berjaya memecahkan rekod Ironman Langkawi, sekali gus dinobatkan juara kategori profesional lelaki pada penampilan sulung pada edisi 2019, di sini hari ini.

Atlet berusia 36 tahun itu, yang menjuarai Kejohanan Triatlon Jarak Jauh Dunia (ITU) 2019, berjaya mengharungi cabaran tiga disiplin perlumbaan iaitu berenang sejauh 3.8 kilometer (km), berbasikal 180km dan berlari sejauh 42.2km dengan masa lapan jam 18 minit 58 saat.

Iklan
Iklan

Catatan masa tersebut itu mengatasi rekod peserta Perancis, Roman Guillaume, 33, dengan 13 minit 96 saat yang dicipta pada edisi 2017.

Beliau menerima hadiah wang tunai AS$5,000 (RM20,930) yang disampaikan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir.

Iklan

"Ia sangat mencabar kerana cuaca sangat panas dan tiada hujan seperti yang diharapkan. Saya juga ketinggalan pada disiplin berbasikal tetapi dapat mengejar pesaing pada disiplin berlari dengan mengekalkan tempo larian.

"Selepas ini, saya akan berehat dahulu sebelum meneruskan latihan sebagai persiapan untuk ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan pengalaman di Ironman Langkawi ini dapat membantu saya apabila di sana," kata Gomez kepada pemberita selepas majlis penyampaian hadiah.

Iklan

Tempat kedua kategori itu dimenangi atlet dari Switzerland, Philipp Koutny, 36, dengan catatan masa 8:24:18s dan membawa pulang AS$2,750 (RM11,511.50), peserta dari Brazil, Thiago Vinhal, 36, meraih tempat ketiga dari Brazil dengan masa 8:31:15s dan membawa pulang AS$1,750 (RM7,325).

Sementara itu, bagi kategori profesional wanita, peserta Belanda, Tessa Kortekaas, 31,berjaya menjuarai kejohanan tersebut dengan catatan masa 9:43:19s.

"Ini merupakan tahun pertama saya sebagai atlet profesional dan saya sangat gembira kerana berjaya menamatkan kejohanan di tempat pertama. Saya berlatih keras untuk kejohanan ini dan usaha itu sangat berbaloi," katanya.

Tempat kedua dimenangi atlet Jepun, Naomi Washizu, 36, dengan masa 9:52:00s, manakala atlet dari Republik Czech, Simona Krivankova, 36, di tempat ketiga dengan masa 9:59:27s.

Tiga pemenang wanita itu masing-masing menerima hadiah wang tunai mengikut jumlah sama diterima pemenang lelaki. - Bernama