MOA teliti permohonan kontrak permit import beras

Iklan
Salahuddin Ayub

PONTIAN - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) sedang meneliti Permohonan Cadangan (RFP) beberapa syarikat yang berminat untuk mendapatkan kontrak permit import beras bagi menggantikan Padiberas Nasional Bhd (Bernas) pada Januari 2021.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, syarikat yang memohon mendapat kontrak berkenaan perlu memenuhi beberapa kriteria ditetapkan termasuk kewangan kukuh sekurang-kurangnya RM300 juta untuk pengimportan, pergudangan, pengedaran dan pemasaran beras di Malaysia.

Iklan
Iklan

"Itu cadangan kita (MOA) supaya sesiapa sahaja nanti diberikan lesen oleh pihak kerajaan untuk berperanan seperti Padiberas Nasional Bhd (Bernas) sebagai contohnya, akan mengambil alih stok penimbal beras negara dan sejumlah wang RM300 juta yang kita peruntuk di situ ketika ini (di Bernas) akan dapat digunakan untuk aktiviti lain," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Himpunan Peladang 2019 di Rambah di sini hari ini.

Iklan

Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai berkata, langkah kerajaan menetapkan kriteria termasuk kewangan sebanyak RM300 juta itu dilihat 'sesuatu langkah berfikiran jauh' memandangkan wang yang selama ini diperuntuk kepada Bernas dapat dialihkan kepada beberapa program MOA bagi membantu nelayan dan petani golongan B40.

"Sekarang ini memang kita (MOA) kena ada duit sebanyak itu (RM300 juta) untuk menjaga stok penimbal (beras).

Iklan

"Lepas ini, mana-mana pihak yang ambil alih nanti sama ada Bernas atau lain-lain, mereka yang menjaga stok penimbal. Jadi, kita dapat guna wang itu untuk tujuan lain," katanya.

Bulan lalu, Salahuddin dilaporkan berkata, MOA mempelawa mana-mana pihak berminat menggantikan Bernas yang akan tamat kontrak Permit Import beras pada Januari 2021 supaya mengemukakan RFP untuk dinilai kerajaan.

Terdahulu pada program itu, Salahuddin turut menyampaikan sebahagian zakat perniagaan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) di negeri ini berjumlah RM80,000 kepada 400 asnaf peladang dari Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pontian Selatan dan PPK Pekan Nanas. - Bernama