PSP: Lima juta penerima M40 sedang dikenal pasti

Iklan
WhatsApp Image 2019-10-08 at 3.48.29 PM

KULIM - Sebanyak lima juta penerima lagi termasuk daripada golongan isi rumah berpendapatan pertengahan 40 peratus (M40) sedang dikenal pasti untuk menerima bantuan Program Subsidi Petrol (PSP) yang akan dilaksanakan bermula tahun depan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, setakat ini kira-kira tiga juta data penerima PSP terdiri daripada golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) sudah berjaya direkodkan.

Iklan
Iklan

Beliau berkata baki lima juta penerima lagi perlu dicari segera memandangkan Kementerian Kewangan memperuntukkan sebanyak RM2.2 bilion melibatkan lapan juta penerima untuk program berkenaan bagi 2020.

Menurutnya, kumpulan penerima dalam kalangan M40 dikenali sebagai ‘bukan penerima Bantuan Sara Hidup (BSH)’ dan pihaknya akan berbincang dengan Menteri Kewangan tentang mekanisme khusus bagi tujuan pengumpulan data kumpulan berkenaan.​​

Iklan

"Satu pendekatan untuk kutipan data perlu dirangka, untuk B40 dah ada tapi M40 belum ada dan harus dikenal pasti pendekatan tepat bagi memastikan tiada yang ketinggalan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penerangan Isu-Isu Kepenggunaan dan Isu-Isu Semasa (Kupasan Bajet 2020 dan Taklimat Petrol Subsidi Bersasar), di sini hari ini.

Menurut Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, pendaftaran untuk penerima daripada golongan B40 dan BSH sehingga kini masih dibuka, manakala tempoh pendaftaran dan semakan bagi kumpulan M40 pula akan dimaklumkan kemudian.

Iklan

"Kita menerima pelawat yang begitu ramai selepas kita buka portal untuk B40 mendaftar, semak dan kemas kini maklumat dan saya jangka jika kita umum untuk M40 mendaftar yang secara relatifnya mereka lebih celik IT (teknologi maklumat). Ini akan membantu memudahkan kita menjalankan proses pendaftaran,” katanya.

Beliau berkata, proses mengumpul data semua penerima yang layak perlu diselesaikan pada tahun ini juga bagi memastikan mereka dapat menerima bantuan PSP pada suku pertama tahun depan. - Bernama