Pelaburan besar di Turkmenistan bukti keyakinan Petronas

Iklan
Mohamed Azmin ketika taklimat di Petronas Ashgabat. - Foto Twitter Mohamed Azmin Ali

ASHGABAT - Pelaburan besar Petronas di Turkmenistan mencerminkan keyakinannya bagi kerjasama jangka panjang dengan negara itu.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Petronas beroperasi di Turkmenistan selama 23 tahun sejak Julai 1996 dengan jumlah pelaburan bernilai AS$10 bilion.

Iklan
Iklan

"Saya bangga dengan keupayaan rakyat Malaysia yang menguruskan operasi Petronas Carigali di Turkmenistan.

"Pagi tadi saya diberikan taklimat oleh Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Carigali Turkmenistan, Ruslan Abdul Ghani di pejabat Petronas Ashgabat bersama pengurusan tertinggi Petronas Carigali,” katanya dalam catatan di laman Twitter rasminya hari ini.

Iklan

Mohamed Azmin tiba di sini lewat malam Jumaat bagi mengiringi Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk lawatan rasmi dua hari ke Turkmenistan bermula Ahad ini.

Lawatan Dr Mahathir itu adalah atas jemputan Presiden Turkmenistan, Gurbanguly Berdimuhamedov yang mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia pada Disember 2011 dan November 2016.

Iklan

Mohamed Azmin berkata, Petronas beroperasi di Blok 1, yang terletak kira-kira 80km barat daya Turkmenbashy, kontrak perkongsian pengeluaran (PSC) yang diberikan kerajaan Turkmenistan.

"Turkmenistan mencatat pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 6.2 peratus pada 2018 dengan nilai AS$40.4 bilion.

"Ashgabat merupakan ibu negara Turkmenistan, sebuah negara pengeluar minyak dan gas dengan penduduk seramai 5.8 juta orang, dengan 89 peratus adalah masyarakat Muslim," katanya.

Selepas dua lawatan tertinggi daripada pemimpin Turkmenistan pada 1994, kerajaan negara itu menyedari pengalaman dan kelayakan Petronas dalam bidang industri minyak dan gas dan menjemput syarikat petroleum Malaysia itu melabur di negara berkenaan.

Pada 1996, Petronas diberikan 32 tahun PSC yang berakhir pada 2028 untuk mengeluarkan gas asli di kawasan Blok 1 di Laut Caspian.

Pada masa ini, Turkmenistan berada di kedudukan keempat teratas yang mempunyai simpanan gas asli di bawah tanah selepas Rusia, Iran dan Qatar.

Simpanan gas asli yang terbukti adalah sebanyak 20 trilion meter padu, namun jumlah itu mungkin lebih tinggi kerana masih banyak kawasan di negara itu masih belum diterokai. - Bernama