Pemandu trak bawa 39 mayat didakwa

Iklan
Maurice Robinson didakwa dengan 39 tuduhan membunuh, konspirasi pemerdagangan manusia, konspirasi melakukan kesalahan imigresen dan pengubahan wang.

LONDON - Pemandu trak yang membawa 39 individu yang ditemukan mati dalam sebuah kontena sejuk beku di Essex, Rabu lalu, didakwa atas tuduhan membunuh dan pemerdagangan manusia.

Maurice Robinson ditahan tidak lama selepas mayat lapan wanita dan 31 lelaki ditemui dalam sebuah kontena di kawasan perindustrian di Grays, Essex.

Iklan
Iklan

Robinson yang didakwa semalam dijangka dihadapkan ke mahkamah esok.

Menurut polis Essex, lelaki berusia 25 tahun dari Ireland Utara itu didakwa dengan 39 tuduhan membunuh, konspirasi pemerdagangan manusia, konspirasi melakukan kesalahan imigresen dan pengubahan wang.

Iklan

Dilaporkan, tiga lagi individu turut ditahan susulan siasatan kes berkenaan yang merupakan siasatan pembunuhan terbesar sejak insiden pengeboman bunuh diri di London pada tahun 2005.

Media tempatan melaporkan, suspek yang ditahan termasuk seorang wanita berusia 38 tahun yang dikatakan pemilik trak berkenaan dan suaminya juga berusia 38 tahun.

Iklan

Seorang lagi lelaki dari Ireland Utara dilaporkan turut ditahan di Dublin semalam.

Terdahulu, polis mendakwa kesemua mangsa yang dipercayai tiba dengan feri dari Pelabuhan Zeebrugge, Belgium merupakan warga China namun kini laporan mengatakan kebanyakan mangsa berasal dari Vietnam.

Susulan itu, Duta Vietnam, Tran Ngoc An yang menemui pasukan penyiasat kes berkenaan dilaporkan turut menghubungi Menteri Dalam Negeri Britain, Priti Patel.

Di Vietnam, beberapa keluarga memberitahu AFP, terdapat saudara-mara yang hilang ketika dalam perjalanan ke Britain, destinasi utama bagi imigran yang mencari kehidupan lebih baik di luar negara.

Ramai imigran diseludup secara haram melalui Rusia atau China dengan membawa dokumen palsu dan kebanyakan mereka akhirnya bekerja di ladang ganja atau pun salon. - AFP

ARTIKEL BERKAITAN: Identiti mayat dalam kontena masih cetus tanda tanya