KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia berpuas hati dengan siasatan kes berhubung 12 individu termasuk dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Negeri Sembilan dan Melaka yang ditahan kerana disyaki terbabit dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kertas siasatan terhadap suspek LTTE sudah dihantar ke Pejabat Peguam Negara pada Rabu lalu.
"Kita telah siap menjalankan siasatan ke atas kesemua suspek, kertas siasatan juga telah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara. Kita tunggu keputusan Peguam Negara untuk tindakan lanjut," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini tadi.
Dalam pada itu, menurutnya, keluarga ada hak untuk melawat tahanan.
"Pertemuan ini adalah sempena Deepavali serta arahan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador yang minta kita mengaturkan pertemuan ini.
"Pertemuan ini dalam tempoh masa yang berbeza kira-kira dua jam satu sesi bermula pada jam 9 pagi hingga 5 petang," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Polis sahkan dua ADUN antara tujuh ditahan terlibat LTTE
Ayob Khan berkata, keluarga juga diberi peluang membawa makanan kepada tahanan.
"Kita dapati ada tahanan yang mengalami gastrik dan sakit perut, ia perkara biasa dan mungkin mereka tidak dapat menyesuaikan diri dengan makanan di sini," katanya.
Beliau berkata, khidmat doktor turut disediakan sekiranya ada tahanan yang sakit.
"Mereka akan diberi rawatan jika mereka sakit, setakat ini kesihatan mereka baik dan tiada masalah kesihatan yang besar. Kita telah memberi khidmat perubatan yang secukupnya," katanya.
Sebelum ini, media melaporkan 12 individu termasuk dua ADUN dari Negeri Sembilan dan Melaka ditahan kerana disyaki terbabit LTTE mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Polis minta keluarga tahanan LTTE bersabar