APMM rampas dua bot, hasil tangkapan bernilai RM2 juta

Iklan
Salah satu bot nelayan asing disyaki dari Vietnam yang ditahan APMM Pahang semalam.

KUANTAN - Tindakan pantas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pahang berjaya menghalang 21 awak-awak termasuk dua tekong yang cuba meloloskan diri dan merampas dua bot nelayan asing bersama hasil tangkapan bernilai RM2 juta di 70 batu nautika dari Kuantan, petang semalam.

Kesemua mereka berusia dalam lingkungan 18 hingga 50 tahun itu ditahan jam 3 petang selepas dikesan menceroboh dan menjalankan aktiviti mencuri hasil laut dalam perairan negeri ini.

Iklan
Iklan

Pengarah Maritim Pahang, Laksamana Muda Maritim Datuk Zulkarnain Mohd Omar berkata, hasil pemeriksaan ke atas kedua-dua bot yang menggunakan nombor pendaftaran dipercayai dari Vietnam itu, pihaknya menemui hasil tangkapan dianggarkan seberat lima tan.

"Bot bersama tekong dan semua awak-awak diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah dan Akta Perikanan 1985 kerana masuk dan menangkap ikan di kawasan perairan negara tanpa kebenaran," katanya.

Iklan

Zulkarnain berkata, jika disabitkan kesalahan, kedua-dua tekong berdepan hukuman denda tidak lebih RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun.

"Bagi awak-awak, hukumannya denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih dua tahun jika sabit kesalahan," katanya.

Iklan

Beliau berkata, sehingga kini APMM Pahang telah melakukan 765 pemeriksaan dengan 63 tangkapan melibatkan pelbagai kesalahan.

Beliau turut menyarankan orang ramai supaya memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berhubung kesalahan atau jenayah di perairan negara melalui talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345.