SHAH ALAM - Setelah pengumuman larangan merokok berkuatkuasa pada 1 Januari, pelbagai ragam dan gelagat si perokok tegar bagi menyahut saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Baru-baru ini tular beberapa klip video di media sosial memperlihatkan si perokok berada di kedai makan kemudian menggunakan pita ukur untuk mengukur jarak yang diwartakan KKM iaitu jarak tiga meter.
Video berdurasi 22 saat dimuatnaik di Facebook Kini Viral itu melihat gelagat seorang pelanggan memegang pita ukur di meja makan manakala rakannya turut bantu mengukur jarak tiga meter kemudian tauke kedai menunjukkan tanda bagus setelah melihat perbuatan itu.
Rakaman audio itu juga memberi arahan dan saranan kepada masyarakat jika mahu menghisap rokok perlu mengukur menggunakan pita ukur.
"Kawan-kawan yang nak hisap rokok kena duduk jauh-jauh... ukur! Baru boleh. Tuan kedai pun tak benar hisap rokok dalam kedai," katanya.
Netizen, Jack juga bersetuju membawa pita ukur ke kedai kerana memudahkan si perokok merokok di luar kedai elak kena denda.
Bukan sahaja membawa pita ukur, tular juga pelanggan membawa kerusi dan meja makan di luar kawasan premis semata-mata mahu merokok sambil menjamu selera.
Namun apa jua gelagat dan kisah si perokok, KKM tetap bertegas mahu melindungi orang awam daripada terdedah kepada asap rokok.
Semua premis makanan di negara ini diwartakan sebagai tempat larangan merokok selari dengan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) (Pindaan) 2018.
Premis itu membabitkan semua kaedah perniagaan tidak kira tertutup, berhawa dingin atau berkonsep terbuka.
Peraturan larangan merokok itu diwartakan mengikut Peraturan 11, PPKHT 2004 yang mana mereka melanggarnya boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun.
Bagi pengusaha kedai makan dan restoran yang gagal mematuhi peraturan itu boleh didenda melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan.