ISLAMABAD - PAKISTAN. Delegasi yang diketuai Kementerian Tenaga, Industri dan Sumber Asli Arab Saudi termasuk ahli perniagaan serta pelabur dari Riyadh melawat Pelabuhan Gawadar di Pakistan yang merupakan titik tumpuan Koridor Ekonomi Pakistan dan China (CPEC).
Turut mengiringi delegasi pelaburan dari Saudi ketika lawatan itu adalah Penasihat Menteri Tenaga, Ali Ghamidi dan Menteri Media, Fahim alHamid.
Iklan
Iklan
Duta Saudi, H E Malki dalam satu kenyataan berkata, beliau sangat gembira kerana delegasi Saudi dibawa melawat Pelabuhan Gawadar dan melihat semua peluang pelaburan yang mana lawatan itu membolehkan mereka mengambil keputusan yang cepat dan lebih baik di negara itu pada masa akan datang.
Menurutnya, Gawadar dan CPEC mempunyai banyak ciri dan peluang untuk pelaburan serta perdagangan yang boleh dimanfaatkan pelabur Saudi terutamanya di bawah petunjuk kerajaan Pakistan yang berjanji mahu menyediakan insentif dan perkhidmatan untuk meningkatkan pelaburan Riyadh.
Tambahnya, Saudi bersemangat mahu melabur dalam CPEC dan projek itu akan diumumkan dan dilancarkan tidak lama lagi.
Jelasnya lagi, pelaburan Saudi akan menyumbang untuk menggalakkan kestabilan di Islamabad berdasarkan komitmen dibuat ketika Perdana Menteri, Imran Khan bertemu Raja Salman dan Putera Mahkota, Mohammed ketika lawatannya ke Riyadh.
Delegasi Saudi turut menyifatkan projek Gawadar itu sebagai peluang pelaburan penuh dan memberi peluang unik kepada mereka untuk melihat semua peluang dan perkembangan yang ditawarkan. - bolnews.com