Tiada kompromi warga asing miliki saman trafik

Iklan
Hasanuddin (kiri) melakukan tinjauan Operasi Saman Tertunggak Warganegara Asing di Kompleks ICQS Rantau Panjang.

RANTAU PANJANG - Polis Kelantan tidak akan berkompromi dengan pemilik kenderaan warga asing yang mempunyai tunggakan saman bertujuan mendidik mereka mematuhi undang-undang negara ini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, selain itu tindakan berkenaan diambil bagi mengelakkan pemandu terbabit enggan melunaskan saman.

Iklan
Iklan

"Kita mahu mereka bertanggungjawab melunaskan semua saman yang diterima," katanya selepas meninjau Operasi Saman Tertunggak Warganegara Asing di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang dekat di sini.

Hasanuddin berkata, Operasi Saman Tertunggak Warganegara Asing turut menjadi serampang dua mata mengesan pesalah trafik warga tempatan yang mempunyai saman tertunggak membabitkan pelbagai kesalahan.

Iklan

Katanya, sepanjang tempoh dua hari bermula kelmarin sebanyak 279 saman warga Thailand berjaya diselesaikan selain 532 saman warga tempatan.

"Sepanjang tempoh dua hari operasi, Polis Kelantan membuat kutipan balik saman keseluruhan berjumlah RM161,150," katanya.

Iklan

Hasanuddin berkata, operasi yang berakhir malam semalam diadakan di ICQS Rantau Panjang, ICQS Bukit Bunga (Jeli), Sekatan Jalan Raya Pos Pasukan Gerakan Am (PGA) Kampung Sri Tujoh dan Pos Agensi Kawalan Sempadan (Aksem) Kampung Neting di Tumpat.

Katanya, sebanyak 299 saman atas pelbagai kesalahan lalulintas telah dikeluarkan.