Skim Hijrah bantu ibu tunggal jana pendapatan

Iklan
Mariah (dua dari kanan) mempengerusikan pembentangan hasil penyelidikan dan perbincangan meja bulat program mikrokredit Hijrah di Bilik Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor di bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor di sini Jumaat lalu. -Foto:Facebook IWB

SHAH ALAM - Skim mikrokredit Hijrah Selangor membantu meningkatkan taraf hidup golongan wanita terutama ibu tunggal dengan pertambahan purata pendapatan sebanyak 19 peratus.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, skim tersebut yang diperkenalkan pada 2010 melibatkan hampir 70 peratus penerima adalah daripada golongan ibu tunggal.

Iklan
Iklan

"Majoriti ibu tunggal atau 69.9 peratus yang memohon skim Hijrah ini mempunyai bilangan isi rumah antara satu hingga empat tanggungan.

"Sebanyak 86.3 peratus ibu tunggal yang menyertai skim ini didorong oleh faktor prosedur penyertaan yang mudah dan 72 peratus daripadanya dipengaruhi faktor tempoh kelulusan pinjaman yang singkat," katanya dalam satu kenyataan.

Iklan

Sementara itu katanya, satu penyelidikan tahap indeks keberkesanan program mikrokredit terhadap pemberdayaan ibu tunggal di Selangor telah dijalankan oleh Institut Wanita Berdaya (IWB) baru-baru ini.

Mariah berkata, beberapa penambahbaikan dicadangkan dalam skim Hijrah bagi memastikannya terus relevan dan berperanan dalam membasmi kemiskinan.

Iklan

"Antara cadangan yang diketengahkan adalah menubuhkan sistem mentor dan jaringan bagi peminjam khususnya wanita.

"Dalam masa sama siri latihan kepimpinan wanita dan kemahiran komprehensif perlu dipertingkatkan selain memperkasa sistem pengurusan serta pangkalan data secara lebih efisien dengan capaian yang mudah," katanya.

Skim Hijrah diperkenalkan kerajaan negeri di bawah Inisiatif Peduli Rakyat 9 (IPR 9) yang di antara tujuan utama skim ini adalah untuk meningkatkan dan memperkasakan ekonomi golongan pertengahan.