'Mula-mula tahu kami cemas, tapi yakin Pitt boleh 'survive''

Iklan
Shamsul Azmi (kanan) bersama Allahyarham Pitt sewaktu merakam gambar tangkapan ikan ketika menyertai satu aktiviti memancing sebelum ini.

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI]"Allahyarham Pitt (Hanif) sempat kongsi hantaran gambar dirinya bersama abang saya sewaktu singgah makan malam di restoran abang saya di Jerantut, Pahang melalui aplikasi WhatsApp pada malam sebelum kejadian berlaku."

Demikian pendedahan pengarah filem terkemuka, Tunku Mona Riza, 52, susulan pengesahan penemuan mayat penggiat filem, Allahyarham Pitt atau nama sebenarnya, Mohd Firdaus Mohamad Hanif, 43, di Sungai Jelai, dekat Kampung Mela, Kuala Lipis petang tadi oleh ibunya, Seniwati Fauziah Nawi.

Iklan
Iklan

Tunku Mona berkata, pihaknya bersama rakan-rakan kru produksi filem lain terkejut dengan berita tragis menimpa Allahyarham Pitt kerana beliau selama ini lebih dikenali sebagai seorang kaki pancing, suka dengan air dan mempunyai kemahiran menyelam sangat baik.

Menurutnya, Allahyarham Pitt merupakan antara individu yang sangat rapat dengan dirinya dan sering membantunya menguruskan pelbagai produksi filem dan iklan termasuklah pengarahan filem terakhirnya, Redha.

Iklan
Gambar kenangan Tunku Mona (dua dari kiri) bersama Allahyarham Pitt (dua dari kanan) sewaktu sesi penggambaran filem Redha di Pulau Redang sebelum ini.

"Lepas dia (Allahyarham Pitt) kongsi gambar dengan abang saya, dia sempat hantar mesej 'What a small world'. Saya tidak sempat baca masa itu dan bila dapat tahu pasal kes kehilangan arwah melalui panggilan telefon, baru saya perasan mesej WhatsApp itu masuk.

"Bagi saya, Pitt merupakan seorang yang nakal, suka mengusik saya, cakap berterus-terang tetapi hatinya baik dan sering memberikan mutu kerja 100 peratus," katanya sewaktu dihubungi Sinar Harian di sini.

Iklan

Sementara itu, seorang lagi teman rapat arwah, Shamsul Azmi Azman, 40, ketika dihubungi mengakui beliau mula berkenalan rapat dengan Allahyarham Pitt selepas pengarah filem itu menyertai grup memancing mereka, Monstercrap sejak dua tahun lalu.

Menurutnya, sepanjang perkenalan mereka, Allahyarham merupakan seorang yang sentiasa 'happy-go-lucky', suka berjenaka dan sering dianggap sebagai adik-beradik oleh rakan-rakan kumpulan memancing yang terdiri lebih 20 anggota.

"Aktiviti memancing arwah Pitt bersama seorang lagi rakan kami kali ini pun diketahui oleh kami, cuma kami tidak dapat menyertai mereka kerana masing-masing ada komitmen kerja dan keluarga.

"Kami juga sempat membuat panggilan video terhadapnya berjenaka mengenai jenis dan keberatan ikan dipancing pada hari Jumaat, sehari sebelum berlaku kejadian. Kami pun tidak syaki apa-apa kerana arwah ceria sewaktu dihubungi," katanya.

Shamsul yang lebih dikenali Nankhairel berkata, dia bersama ahli kumpulan lain sebenarnya tidak sangka dengan berita pemergian Allahyarham Pitt, lebih-lebih lagi dia sangat dikenali rakan-rakan sebagai seorang yang handal berenang dan menyelam.

"Kami juga berasa sangat terkilan dengan pemergian arwah kerana kami baru sahaja merancang untuk pergi menyertai aktiviti memancing secara berkumpulan di Sri Ganda, Sabah tahun hadapan.

Terdahulu, Fauziah mengesahkan anak lelakinya, Mohd Firdaus atau Pitt Hanif ditemui lemas di Sungai Jelai, petang tadi.

Perkara itu dimaklumkan oleh adiknya, Mohd Fauzi Nawi yang turut menyertai operasi SAR di lokasi kejadian.

"Saya dimaklumkan jenazah ditemui dalam keadaan yang sangat elok. Terima kasih yang mendoakan dan berusaha mencari anak saya," katanya menerusi Facebook Live sebentar tadi.

Allahyarham Pitt sebelum ini dikhuatiri lemas selepas bot fiber yang dinaiki bersama rakan untuk memancing terbalik di Sungai Jelai, Kuala Lipis, petang semalam.

ARTIKEL BERKAITAN: Mayat pengarah filem Pitt Hanif ditemukan

‘Semua pakai baju, jaket dan topi awak’

**media[505925]*