Seri Muda dilanda banjir kilat kedua dalam tempoh 10 hari

Iklan
Jalan di Seri Muda ditakungi air susulan banjir kilat petang tadi. - Foto Facebook V Ganabatirau

SHAH ALAM - Hujan lebat menyebabkan kawasan Seksyen 25 Seri Muda, di sini sekali lagi dilanda banjir kilat dalam tempoh 10 hari petang tadi.

Seorang penduduk, Zamri Tumin, 50, berkata, kejadian itu menyebabkan air naik setinggi 0.3 meter di kawasan berkenaan.

Iklan
Iklan

Zamri turut mencadangkan kolam takungan Seri Muda dikosongkan sejurus selepas hujan bagi mengelak berlakunya limpahan air setiap kali hujan lebat.

"Saya minta masalah ini diselesaikan segera, dah berlaku banjir kilat dua kali dalam Oktober ini melibatkan kerosakan harta benda dan ketidakselesaan penduduk.

Iklan
Keadaan sebuah kenderaan meredah air bertakung di Seksyen 25 Seri Muda petang ini.

"Takungan air pada kolam menyebabkan limpahan setiap kali hujan. Saya minta air di pam keluar ke sungai lebih kerap bagi mengurangkan halangan," katanya.

Insiden banjir kilat tersebut turut mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Kemuning, V Ganabatirau yang turut berkongsi keadaan jalan Seri Muda ditakungi air melalui laman sosial miliknya dan memaklumkan banjir kilat berpunca daripada masalah saliran tersumbat disebabkan sampah.

Iklan

"Pemantauan di tapak pam air Kolam Takungan Seri Muda mendapati pam berfungsi dengan baik, namun sampah masih begitu banyak dalam saliran menghalang kelancaran air ke takungan.

"Mohon kepada orang ramai agar prihatin atas masalah saliran dan hentikan pembuangan sampah terus ke dalam longkang," katanya memetik status kemas kini di Facebook miliknya hari ini.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu menyelesaikan banjir termasuk Jabatan Pengairan Saliran, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) serta Ahli Majlis MBSA yang turun membantu walaupun ketika menyambut perayaan Deepavali.

Difahamkan, limpahan banjir kilat melanda Seksyen 25 Seri Muda jam 5 petang tadi dan mulai surut secara berperingkat satu jam kemudian sebelum surut sepenuhnya jam 7.30 malam ini.