"ALHAMDULILLAH, Pitt, Farah dapat iring awak,” demikian luahan Farah Ahmad, isteri kepada Allahyarham Mohd Firdaus Mohamad Hanif atau Pitt Hanif yang ditemui lemas di Kuala Lipis, Pahang petang tadi.
Farah yang juga pelakon berkongsi luahan itu menerusi laman Instagramnya, @ifarahahmad yang disertakan dengan video dirinya menyertai pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat dalam misi mencari dan menyelamat, hari ini.
"I told you I will bring you back. Awak nak Farah turun ke sungai juga sentuh air ye baru awak nak jumpa Farah. Ya ALLAH so sweetlah Pitt ni. Terima kasih Pitt sudi berjumpa Farah dan yang lain-lain.
"Ya ALLAH terima kasih dengar doa-doa kami. Syukur. YES YOU NEVER WALK ALONE @pitthanif!,” tulisnya.
Pemergian Allahyarham itu turut dirasai rakan artis tempatan termasuk penyanyi Yuna yang menyifatkan negara kehilangan satu bakat besar dalam industri perfileman.
"Our deepest condolences to Pitt Haniff’s family & friends. We’re very saddened by this news. We really respected Pitt & really enjoyed our time with him,” katanya menerusi ciapan di Twitternya.
Selain itu, pelakon Sharifah Amani berkata beliau tidak akan melupakan segala ilmu yang diajar oleh Allahyarham selama ini kepadanya.
"Dia happy gila tengok adik dia lace film in a camera. Allah loves you more. My heart is broken. Nani loves you sampai bila-bila. Thank you for everything Abang. I will never forget the things you taught me. You’ll never walk alone Abang Pitt. Al Fatihah Mohd Firdaus Mohamad Hanif,” luahnya.
Pelakon serta pengarah, Sheila Rusly menerusi Instagramnya pula merakamkan ucapan takziah kepada Farah dan ibu Allahyarham iaitu pelakon terkenal Fauziah Nawi.
"Innalillahiwainnaillahirojiun. Takziah @ifarahahmad @fauziahnawi & keluarga. Moga roh Pitt Haniff dicucuri rahmat & ditempatkan bersama mereka yang beriman di sisi Allah SWT. Please be strong mak (Fauziah Nawi). Adik datang jumpa mak soon,” tulisnya.
ARTIKEL BERKAITAN: Mayat pengarah filem Pitt Hanif ditemukan
Pelakon dan pengarah, Sabri Yunus turut berharap agar keluarga Pitt Haniff bertabah dan reda dengan pemergian Allahyarham itu.
"Innalillahi wainna ilaihi rojiun.. Dia dijemput pulang saat dia baru membuktikan bahawa dia salah seorang pengarah filem masa depan.. anak muda berjiwa besar yang sangat mencintai dan menghormati kerjayanya,” tulisnya di Facebook sambil memuat naik sekeping gambar beliau bersama Allahyarham.
Polis menemui mayat pengarah filem itu pada 4.25 petang tadi dalam keadaan terapung kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian bot yang dinaikinya terbalik semalam.
Mangsa dilaporkan hilang selepas bot fiber yang dinaiki bersama rakan untuk memancing, terbalik berhampiran Jambatan Gemunchur di Sungai Jelai dan pihak berkuasa mula mengaktifkan usaha mencari serta menyelamat selepas menerima laporan kira-kira 1 tengah hari semalam.
Difahamkan, Mohd Firdaus berada di daerah itu bagi menyiapkan penggambaran filem ‘Coast Guard’ yang bermula kira-kira dua bulan lalu. -Bernama