Sabah Mountaineers sekat momentum kemenangan Terengganu Turtles

Iklan
Antara aksi menarik dipamerkan kedua-dua regu pada saingan Liga Premier STL 2019 di Ipoh semalam.

TERENGGANU Turtles gagal meneruskan aksi kemenangan selepas dikejutkan pasukan tercorot Liga Premier Sepak Takraw League (STL) 2019, Sabah Mountaineers hari ini.

Tewas dua set 21-17 dan 21-19 dengan Sabah Moutaineers pastinya menyukarkan Terengganu Turtles untuk kekal di saingan premier musim depan apabila dua baki perlawanan mereka akan bertemu dengan ATM Guardians dan Kuala Lumpur Thunder.

Iklan
Iklan

Pada dua perlawanan sebelum ini, Terengganu Turtles berjaya menumpaskan Negeri Sembilan Antlers 2-1 diikuti kemenangan 2-0 ke atas PDRM Defenders.

Mengulas perlawanan tersebut, Jurulatih Terengganu Turtles, Mohd Futra Abdul Ghani berkata, keputusan tersebut bukanlah yang diharapkan menjelang dua perlawanan terakhir musim ini.

Iklan

Menurutnya, biarpun akur dengan keputusan tersebut Terengganu Turtles akan membuat persiapan rapi dalam baki perlawanan minggu depan.

"Kita tak menjangkakan keputusan seperti ini kerana menjangkakan kemenangan ketiga sebab momentum kemenangan sebelum ini memang baik tetapi di dalam sepak takraw ini apa-apa boleh berlaku cuma kita ada berbaki dua perlawanan dan perlu menang kedua-dua perlawanan tersebut.

Iklan

"Jadi saya rasa dengan kekalahan begini pemain perlu bangkit pada minggu depan. Perlawanan terakhir perlu menang dan teruskan sehingga berjaya,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan tersebut yang berlangsung di Stadium Indera Mulia, di sini, hari ini.

Mengenai kehadiran pemain import, Mohd Futra berkata, perkara itu satu perkembangan baik untuk STL.

Katanya, perkara itu perlu dilihat secara positif untuk membantu negara sebagai persediaan ke Sukan SEA nanti.

"Untuk Terengganu sendiri ia memberi impak yang sangat besar khususnya pemain muda supaya mereka boleh belajar dengan pemain-pemain hebat ini. Sikap bermain di dalam gelanggang ini sesuatu perkara yang positif,” katanya.

Sementara itu, bagi Jurulatih Sabah Mountaineers, Fadlan Syah mengakui sedikit terkilan dengan persembahan pasukannya yang baru memperlihatkan kehebatan mereka.

Menurutnya, kemenangan ke atas Terengganu Turtles menunjukkan satu kerjasama yang baik dalam kalangan pemain.

"Mungkin rezeki kami untuk dapat kemenangan kedua. Namun saya akui sedikit terkilan di penghujung saingan baru nampak taring Sabah.

"Tapi apapun perjuangan harus diteruskan dengan berbaki satu perlawanan lagi,” katanya.

Saingan terakhir pasukan-pasukan yang berada di Liga Premier STL akan diteruskan pada minggu depan bermula bermula 1 hingga 3 November di venue sama.