WASHINGTON - Ketua kumpulan militan Daesh Abu Bakr Al-Baghdadi meletupkan diri bersama tiga anaknya selepas terperangkap dalam sebuah terowong ketika dikejar unit anjing K-9 tentera Amerika Syarikat (AS).
Presiden AS, Donald Trump dalam pengumumannya mengesahkan mayat tersebut merupakan Al-Baghdadi yang sekian lama diburu oleh Washington.
"Badannya dipenuhi kesan letupan. Hasil ujian mendapat keputusan yang positif. Itu adalah dia (Al-Baghdadi),” katanya.
Trump berkata, operasi memburu Al-Baghdadi di barat daya Syria turut menyebabkan kematian sejumlah pejuang Daesh yang menemaninya.
"Tiada tentera AS yang terbunuh dalam operasi ini. Al-Baghdadi mati selepas berlari dalam terowong sambil menangis dan menjerit.
"Dia mati seperti seekor anjing. Dia mati seperti pengecut. Dunia kini lebih aman,” kata Trump.
Menjadi buruan pakatan AS yang memerangi Daesh sejak sekian lama, Al-Baghdadi telah beberapa kali dilaporkan meninggal dunia dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.
Berasal dari Iraq dan berumur sekitar 48 tahun, Al-Baghdadi berjaya menubuhkan gerakan militan dengan kekuatan tersendiri di sebahagian besar Syria dan Iraq.
Al-Baghdadi bagaimanapun melarikan diri sejak pakatan diketuai AS memusnahkan organisasi kumpulan militan terbabit susulan perang selama dua tahun sebelum mengisytiharkan kemenangan ke atas Daesh pada bulan Mac tahun ini.
Ketika kemunculannya menerusi sebuah video tahun ini, Al-Baghdadi menyeru militan Daesh untuk membebaskan ribuan rakan seperjuangan yang ditahan Pasukan Demokratik Syria (SDF) yang disokong AS di Syria. - AFP