Sedar tak kita makan plastik?

Iklan

DI mana-mana pun cerita tentang sampah baik di sungai mahupun laut memang tak pernah habis. Macam-macam sudah kerajaan dan NGO buat untuk sedarkan kita bahayanya sampah seperti plastik dan penyedut minuman kepada alam serta isinya.

Berita penyu dan dugong mati memang selalu sangat dah dengar. Bila diperiksa, memang jumpa plastik dalam perut. Mengikut fakta Taman Laut Johor, tahun ini sahaja di perairan Johor dah jumpa dua penyu mati iaitu spesis karah dan agar.

Iklan
Iklan

Hasil necropcy awal ditemukan plastik jenis clingfilm yang selalu digunakan untuk membungkus makanan. Menurut Facebook Taman Laut Johor, plastik seringkali disalah tafsir sebagai obor-obor yang merupakan makanan utama penyu.

Mungkin sebab jadi pada penyu, kita tidaklah kisah sangat sebab kita kan kenal makanan dengan bukan makanan. Tapi penemuan terbaru penyelidik ini mungkin akan buka mata kita bahawa manusia hari ini sedang menerima kesan perbuatan sendiri.

Iklan

Oktober tahun lepas saintis antarabangsa dedahkan tentang penemuan mikroplastik dalam najis manusia. Ini bukan drama dalam TV dah. Ini isu global yang serius. Maksudnya mikroplastik sudah pun masuk dalam sistem pemakanan kita. Cuma, kejadiannya di luar negara kan, kita tak perlulah risau.

Tapi, sedarkah anda, 11 hari lalu, Kementerian Pertanian Asas Tani melalui Timbalan Menterinya, Sim Tze Tzin mendedahkan kita juga makan plastik. Sudah berlaku di Malaysia!

Iklan

Melalui kajian awal, penyelidik kesan mikroplastik iaitu plastik yang bersaiz terlalu kecil dengan diameter kurang 5 milimeter dalam rantaian makanan melalui sumber protein kita iaitu ikan.

Walaupun Tze Tzin tidak mahu dedahkan lagi di mana lokasi kajian sebab bimbang rakyat panik tapi sewajarnya kita harus panik dan sedar padah perbuatan kita sendiri.

Siapa yang guna plastik ini? Macam mana plastik boleh sampai ke laut? Jawapannya sudah tentulah kita, umat manusia yang guna dan buang plastik sesuka hati.

Macam-macam kempen sudah untuk ingatkan sungai dan laut kita ini bukan tong sampah, tapi tetap banyak juga sampah di sungai, laut dan pantai.

Kita masih lagi berfikiran,"tak apa, saya buang satu saja ke laut”. Bayangkan semua manusia berfikiran begini, apa akan jadi? Setiap plastik ambil masa hendak diurai sampai 1,000 tahun. Memang lama, bukan sehari dua.

Jadi kalau sampah yang ada tak dilupuskan dengan cara yang betul, semua buang dalam sungai, campak tepi jalan, akhirnya alam kita akan sakit.

Kalau sudah rosak, nak pulihkan bukan boleh buat sekelip mata dan kosnya pun tinggi. Kalau ada program pembersihan pantai dan dasar laut, bukan sedikit hasil kutipannya, memang bertan-tan dibawa keluar.

Ini baru cerita bab sampah di laut belum lagi sentuh bab kerakusan manusia tangkap hasil laut dengan macam-macam cara yang menyalahi undang-undang dan macam-macam lagi.

Kajian Pusat Analisis dan Sintesis Ekologi Kebangsaan di Santa Barbara, Amerika Syarikat tahun 2006 menunjukkan tahun 2048 kita tak akan ada lagi makanan laut jika cara penangkapan sekarang tidak dikawal. Anak cucu kita nak makan apa nanti?

Kita yang dapat nikmat daripada alam ~ melancong, snorkeling, sumber makanan jadi kenapa tidak kita sama-sama jaga alam? Sikap kita menentukan keselamatan dan kestabilan alam. Hentikanlah sikap pentingkan diri yang akhirnya bukan sahaja merugikan diri sendiri tapi juga insan tersayang.

Ingatlah alam ini bukan hanya untuk kita seorang dan bukan hanya untuk hari ini. Laut bukan tong sampah.

***Raziatul Hanum A Rajak ialah Wartawan Sinar Harian Edisi Johor