MELAKA - Sebanyak 4,211 ekor ular berjaya ditangkap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka di negeri ini sepanjang tahun lalu.
Bagaimanapun, Pengarah APM Melaka, Leftenan Kolonel (PA) Effendy Ali berkata, tugas menangkap reptilia berkenaan bukan sahaja salah satu cabang kecil peranan anggota APM malah ia lebih kepada khidmat masyarakat.
"Peranan serta tugas dan tanggungjawab anggota APM lebih besar dari itu. APM turut diangkat sebagai sekretariat bencana peringkat negeri dan daerah, terlibat dengan pasukan mencari dan menyelamat, tanah runtuh, kes kemalangan serta apa sahaja berkaitan panggilan kecemasan 999.
"Kita tidak mahu orang awam ingat peranan APM lebih kepada menangkap ular semata-mata sebaliknya peranan APM lebih daripada itu,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Ayer Keroh, di sini.
Menurutnya yang juga Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Melaka (JPBNM), kemudahan peralatan serta anggota yang mencukupi menjadi faktor APM diberikan tanggungjawab berkenaan.
"Anggota APM memang dilatih mengendalikan kerja-kerja seumpama itu termasuklah menangkap buaya, memusnahkan sarang tebuan dan lebah.
"Sehinggakan kami juga ada terima panggilan dari seorang warga emas meminta tolong membersihkan rumah selepas mengalami bencana banjir. Meskipun ia bukan tugas utama kami tapi ia lebih kepada khidmat masyarakat,” katanya.
Effendy berkata, anggota APM ditempatkan di Melaka Tengah, Jasin dan Alor Gajah dan setiap daerah mempunyai kekuatan anggota sukarelawan aktif sekurang-kurangnya 50 orang selain pegawai tetap sedia ada.