JERANTUT - Dua pemuda orang asli maut selepas kereta dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan melibatkan empat buah kenderaan di Kilometer 6 Jalan Jerantut - Maran di sini malam tadi.
Dalam kejadian jam 10.10 malam itu, mangsa iaitu pemandu kereta jenis Proton Iswara, Radin Apu, 25, dari Kampung Orang Asli Terbol, Jerantut dan penumpang, Ahmad Bustaman Fauzi, 33, dari Kampung Orang Asli Sungai Kol di sini meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Mazlan Hassan berkata, selain kereta Proton Iswara, kejadian itu juga membabitkan pacuan empat roda Toyota Hilux, kereta jenis Proton Wira Aeroback dan motosikal jenis Honda EX5.
"Lima mangsa cedera manakala dua lagi tidak mengalami sebarang kecederaan dan hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku selepas Toyota Hilux dari Jengka hendak ke Jerantut manakala tiga lagi kenderaan datang dari arah bertentangan.
"Setibanya di tempat kejadian, Toyota Hilux dipercayai masuk ke laluan bertentangan dan kereta Proton Wira terbabit cuba mengelak ke kiri jalan tetapi telah dilanggar oleh Toyota Hilux menyebabkannya terbabas ke bahu jalan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, pada masa sama, Toyota Hilux terbabas dan berpusing serta terlanggar kereta Proton Iswara yang berada di belakang Proton Wira dan kemudiannya Honda EX5 dari arah belakang terlanggar Toyota Hilux.
"Kemalangan ini menyebabkan pemandu dan penumpang kereta Proton Iswara meninggal dunia di tempat kejadian. Pemandu Toyota Hilux yang berusia 29 tahun dan penumpangnya berusia 20 tahun tidak cedera.
"Bagaimanapun, mangsa lain iaitu penumpang kereta Proton Wira seorang wanita berusia 51 tahun cedera ringan di bahu kiri, tiga penumpang Proton Iswara cedera dan penunggang motosikal terbabit yang juga seorang pelajat Giat Mara Jerantut berusia 17 tahun cedera parah di kepala," katanya.
Katanya, mangsa menerima rawatan di Hospital Jerantut dan rawatan selanjutnya di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh.
"Tangkapan sudah dibuat ke atas pemandu Toyota Hilux tersebut dan ujian air kencing terhadapnya didapati negatif dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.