KADANG kala perjalanan yang jauh akan membuatkan pemandu letih dan ingin berehat buat seketika.
Bagi menghilangkan rasa mengantuk, sesetengah orang akan membeli minuman bertenaga atau kafein selain makanan sebagai kudapan di dalam kereta bagi meneruskan perjalanan.
Bagaimanapun, tular di Twitter apabila pelayar bertanyakan soalan kepada Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berhubung hukum makan di dalam kereta.
Ini kerana, pelayar, @watashiwayuki memberitahu, dia mendengar pandangan daripada beberapa ustaz mengatakan makan ketika sedang memandu kereta tidak boleh kerana ia umpama makan sambil berjalan.
"Salam mufti saya ada soalan. Saya selalu dengar ustaz-ustaz kata makan waktu memandu kereta tak boleh, umpama dia macam makan sambil berjalan. Apakah benda ni sahih?," tanyanya.
Persoalan itu pantas menarik perhatian Dr Zulkifli dan beliau membalas, makan atau minum sambil berdiri tanpa keperluan menyalahi adab muslim serta makruh tanzih.
"Bagaimanapun, jika ada keperluan ia dibolehkan. Tetapi Imam Nawawi menyatakan Baginda (Nabi Muhammad SAW) melakukan itu hanya untuk menunjukkan keharusannya. Makan dalam kereta mengundang bahaya," katanya.
Pada hantaran yang sama netizen rata-ratanya mengucapkan terima kasih di atas pencerahan tersebut dan tidak kurang juga memberitahu kudapan diperlukan ketika memandu untuk elak mengantuk selain mengelakkan berlaku kecelakaan.