SHAH ALAM - Gerakan Belia 4B Malaysia melihat gesaan sebuah syarikat tembakau di negara ini supaya kerajaan mengharamkan penjualan rokok murah adalah ibarat hipokrit.
Presiden Gerakan Belia 4B (GB4B) Malaysia, Mohd Nizam Omar berkata, kenyataan ketua pegawai eksekutif secara terang-terangan melanggar Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 dengan mengadakan promosi dan pengiklanan produk tembakau keluaran syarikatnya.
Menurutnya, tidak dinafikan penguatkuasaan terhadap penjualan rokok haram itu penting tetapi kerajaan perlu bersikap adil dan tegas terhadap semua pemegang taruh berkaitan tembakau terutama syarikat pembekal tembakau.
"Sebaiknya syarikat berkenaan menginsafi kesalahan mereka sebelum mengeluarkan sebarang gesaan kepada kerajaan tentang hal ehwal penguatkuasaan berkaitan rokok.
"Mereka juga melanggar undang-undang apabila mengiklankan produk tembakau secara terbuka demi mengaut keuntungan tinggi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, GB4B sentiasa konsisten dalam usaha mempromosi budaya hidup sihat dan bebas rokok dalam kalangan belia di Malaysia.
"Ini termasuk bantahan yang pernah kami suarakan mengenai penjualan dan pengiklanan produk rokok elektronik berasaskan tembakau yang dilakukan secara berleluasa tanpa kawalan.
"Kami akan memantau isu ini secara dekat dan terus menggesa kerajaan meningkatkan penguatkuasaan dan mengenakan tindakan tegas kepada mana-mana pihak yang jelas melanggar Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004," katanya.
Pada 25 Oktober lalu, sebuah syarikat tembakau menggesa kerajaan bertindak secara produktif membendung penjualan rokok murah yang menjejaskan kesihatan masyarakat selain membahayakan negara.