PONTIAN - Ahli MCA diingatkan bersedia bekerja sebagai sebuah pasukan supaya dapat menjalankan peranan sebagai pembangkang yang efektif dan berkesan ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai.
Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, kerusi Parlimen Tanjung Piai perlu dirampas semula selepas tewas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
"Kita kena bersedia untuk PRK Parlimen Tanjung Piai," katanya ringkas kepada media sebelum bergerak ke Jalan Sungai Gurap bagi menghadiri mesyuarat perhubungan MCA negeri dan pusat.
Terdahulu Ahli Parlimen Ayer Hitam itu merasmikan Pusat Gerakan Jentera MCA bagi PRK Parlimen Tanjung Piai di Pekan Nanas di sini hari ini.
Turut serta, Ketua Bahagian MCA Parlimen Tanjung Piai, Datuk Seri Wee Jeck Seng.
Pada PRU14 lalu, Datuk Seri Wee Jeck Seng kalah tipis kepada calon Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) Dr Md Farid dengan perbezaan 524 undi.
PRK Parlimen Tanjung Piai akan diadakan pada16 November depan susulan kematian penyandangnya, Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 43.
Allahyarham yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri meninggal dunia di Hospital Pontian, Johor pada 21 September lalu akibat komplikasi jantung.
Penamaan calon bagi PRK Tanjung Piai ditetapkan pada 2 November depan di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Pontian.