KUANTAN - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berpuas hati dengan tahap kesiapsiagaan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri serta agensi terlibat dalam menghadapi kemungkinan berlakunya banjir besar di negeri ini tahun ini.
Beliau berkata, secara keseluruhannya semua persiapan pada tahap yang amat memuaskan termasuk dalam aspek agihan barangan keperluan ke pangkalan hadapan di daerah-daerah.
Menurutnya, terdapat 662 pusat pemindahan dikenalpasti yang mampu menampung 156,350 mangsa banjir di negeri ini.
"Saya dimaklumkan 60 peratus bekalan barangan keperluan asas sudah mula dihantar ke 118 pangkalan hadapan di negeri ini sejak April lalu.
"Secara keseluruhannya, kerajaan memperuntukkan RM1 juta untuk barangan keperluan asas dan RM2 juta bagi barangan kering untuk keperluan mangsa banjir sekiranya bencana itu berlaku," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Lawatan Kerja Meninjau Persediaan Menghadapi Monsun Timur Laut 2019/2020 di Depoh Simpanan Keperluan Bencana, Kompleks Penyayang Jabatan kebajikan Masyarakat (JKM) dekat sini hari ini.
Turut hadir Ahli Parlimen Kuantan yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak; Pengarah JKM negeri, Zulkhairi Zainol Abidin dan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Pahang, Penolong Pesuruhjaya (PA) Zainal Yusof.
Pada lawatan kerjanya itu, Dr Wan Azizah turut turun padang meninjau Tapak Projek Tebatan banjir Sungai Belat di sini yang dibina bermula Januari tahun lalu dengan Kos RM118 juta dan dijangka siap Januari 2021.
Wan Azizah berkata, secara keseluruhannya, stok barang keperluan yang ada mencukupi untuk keperluan mangsa banjir bagi tempoh tiga hingga lima hari dan ia akan ditambah secara berperingkat mengikut kepada keperluan.
Beliau turut dimaklumkan, seramai 7,174 pegawai dan anggota termasuk daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM); Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM); Polis Diraja Malaysia (PDRM); APM) dan JKM sudah bersedia untuk menjalankan tugas mereka jika banjir melanda negeri Pahang.
"Pada masa sama, aset seperti bot pelbagai jenis sebanyak 171 buah dan 429 kenderaan pelbagai guna juga sudah bersedia untuk digunakan.
"Selain itu, sebanyak 245 lokasi pendaratan helikopter juga sudah dikenalpasti bagi memudahkan proses penghantaran bantuan ke lokasi yang tidak boleh diakses menggunakan laluan darat,” katanya.
Katanya, beliau berharap segala persiapan yang diaturkan semua pihak di negeri ini berjalan lancar sekiranya banjir berlaku.
Dalam perkembangan sama, Dr Wan Azizah berkata, selain berpunca daripada taburan hujan luar biasa, banjir juga boleh berlaku disebabkan sikap tidak bertanggungjawab masyarakat yang membuang sampah secara tidak terkawal sehingga boleh menjejaskan aliran parit dan longkang.
Justeru katanya, rakyat perlu mengubah mentaliti dengan menjaga kebersihan persekitaran dan tidak membuang sampah sesuka hati bagi mengelak daripada bencana banjir terutamanya banjir kilat berulang di kawasan mereka.
"Memang setiap kali Monsun Timur Laut melanda negeri di Pantai Timur akan menyebabkan berlakunya tetapi harus ingat, akibat sikap kita sendiri tidak menjaga kebersihan, masalah penyelenggaraan longkang dan sampah sarap ia juga turut menyumbang kepada bencana ini,” katanya.